Kualiti peniaga bermusim sukar diramal
SETIAP kali Ramadan, sudah tentu banyak kenangan manis terpahat seperti keseronokan berbuka puasa dan solat tarawih beramai-ramai pada malam hari.
Namun, antara yang paling mendapat perhatian adalah kemeriahan bazar Ramadan.
Ramai sedia maklum, peniaga bazar Ramadan kebanyakannya peniaga bermusim. Mereka hanya berniaga sekali dalam setahun dan disebabkan itu, makanan dan minuman yang sukar ditemui pada hari biasa, biasanya muncul dijual di bazar Ramadan.
Namun, ramai yang mengeluh tentang harga makanan yang dijual. Rata-rata pengunjung mendakwa harga sudah naik berbanding tahun lepas, malah saiznya juga semakin mengecil. Paling ketara ialah martabak dan roti John, juadah popular setiap kali bulan puasa.
Dalam laman sosial juga kedengaran keluhan mengenai juadah tidak berbaloi dengan harga, makanan berkulat dan basi, selain resipi tidak menjadi sehingga terbit kata-kata sindiran seperti ‘tak pandai masak tak apa, asal jangan berniaga di bazar Ramadan’.
Ini bukan sesuatu yang pelik kerana juadah yang dijual peniaga bermusim ini sukar diramal. Kalau sedap, pembeli boleh dianggap bernasib baik. Tapi kalau rasanya tak menepati selera tekak, bertabah sahajalah, tak perlu merungut. Anggap sahaja tak ada rezeki dan tak payah beli lagi selepas ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini memberitahu, kementeriannya sudah melaksanakan pemantauan terhadap 5,564 bazar Ramadan seluruh negara sejak 12 Mac lalu.
Harga makanan yang tidak masuk akal antara yang menjadi topik hangat warga maya. Peniaga memberi alasan iaitu kos bahan mentah meningkat, selain sewa tapak yang tinggi.
Alasan bahan mentah tinggi sebenarnya janggal kerana semakan pihak berkaitan mendapati harga bahan mentah seperti ayam masih rendah.
Baru-baru ini, salah seorang warga maya memberikan contoh harga makanan di bazar Ramadan yang terletak di Hatyai, Thailand jauh lebih murah dan sedap. Malah, ketika di luar bulan puasa pun, kebanyakan makanan dijual di Hatyai sedap dan murah.
Tidak hairanlah, hujung tahun lalu, lebih 80,000 rakyat tempatan berebut-rebut mengambil peluang cuti sekolah untuk berkelana ke Thailand.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, seramai 78,301 pengembara keluar ke negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hingga mengalami kesesakan luar biasa.
Katanya, seramai 4,379 pengembara pula melalui ICQS Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap dan destinasi pilihan mereka adalah berkunjung Hatyai yang menjadi syurga makanan untuk pelancong.
Selain isu makanan, bazar Ramadan di Malaysia juga menjadi lubuk kepada peminta sedekah. Paling mengejutkan, kebanyakan mereka adalah warga asing yang entah dari mana datangnya.
Kehadiran mereka cuma mahu mengambil kesempatan terhadap kemurahan hati masyarakat negara ini yang memang dikenali cepat tersentuh hati melihat golongan kurang bernasib baik.
Pengemis warga asing ini lebih pintar memancing simpati dan paling kerap adalah membawa anak kecil berpakaian comot. Malah, ada juga yang dilihat kudung anggota, terbaring atau meniarap di atas papan luncur.
Terfikir juga cara pengemis cacat warga asing ini memasuki negara dalam keadaan begitu. Apa tujuan warga asing ini mengemis jika mereka sekeluarga mampu datang dari jauh ke negara ini. Tidak mustahil, ada sindiket yang mengawal kemasukan mereka.
Apa pun, berbaki beberapa hari lagi, semoga Ramadan kali ini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum.
* Mohd Razlan Salleh ialah Penyunting Sinar Harian
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!