Salah lapor titah Sultan Pahang, portal berdepan tindakan tegas
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi memandang serius kenyataan media Pejabat Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan dukacita berhubung laporan sebuah portal bertajuk ‘Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas.’
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, siasatan terperinci dan tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap portal berkenaan.
"Ini juga adalah peringatan kepada semua pihak tidak kira media elektronik, cetak, portal, mahupun platform media sosial agar tidak sesekali memandang remeh isu 3R (agama, kaum dan raja),” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan itu yang disiarkan Jumaat lepas.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda bertitah laporan itu ternyata bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
Beliau berkata, baginda turut mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik untuk meneliti serta memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar daripada maksud sebenar. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!