Sungai Golok kering: Lebih banyak lokasi panas penyeludup dikesan
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesan lebih banyak lokasi panas di Sungai Golok yang menjadi laluan rentas sempadan secara haram selepas sungai itu mula kering beberapa minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, justeru pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi mengelakkan aktiviti itu berlaku.
Menurut beliau, keadaan sungai yang kering juga mungkin memudahkan penjenayah melakukan penyeludupan melalui lokasi yang sudah ditetapkan.
"Kita juga melakukan perbincangan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain agensi bagi mencari satu pendekatan untuk melihat lokasi yang menjadi laluan haram," katanya.
Muhamad Zaki berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Perdana Peringkat Kontinjen Kelantan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 di sini pada Ahad.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di pinggir sungai sama ada ketika paras air tinggi atau sebaliknya.
"Kita tetap pantau secara 'all out' kerana undang-undang tetap dikenakan sama ada ketika air kering atau paras air tinggi," katanya.
Beliau juga dimaklumkan sekumpulan penunggang motosikal merempit di pinggir sungai dan arahan sudah dikeluarkan supaya anggota membuat tinjauan di kawasan terbabit.
"Jika perlu kita akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis sudah bersedia dengan kemasukan kenderaan perantau di negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan dijangka pelaksanaan Ops Sikap pada 8 April ini.
"Antara kawasan utama ialah Gua Musang dan kita akan pastikan jalan yang selalu berlaku banjir serta banyak lencongan untuk pembinaan jalan baharu sentiasa lancar," katanya.
Muhamad Zaki memberiahu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi terbabit mencari jalan alternatif sebagai pilihan kepada pengguna.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!