Melaka tidak akan berdepan krisis air semasa Aidilfitri
JASIN - Melaka tidak akan berdepan krisis air kerana bekalan masih mencukupi untuk dibekalkan ke seluruh negeri ini khususnya pada musim perayaan Aidilfitri nanti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, ini kerana paras air di ketiga-tiga empangan utama masih stabil dengan merekodkan melebihi 80 peratus dan tidak termasuk di tahap kritikal.
Menurut beliau, keadaan cuaca hujan dalam tempoh dua hari berturut-turut juga dijangka mendorong peningkatan paras air di setiap empangan, dalam masa sama akan terus memantau keadaan itu.
"Setakat ini Melaka tidak termasuk dalam keadaan yang membimbangkan.
"Jangan risau, raya tetap ada air," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka anjuran JAPERUN Sungai Rambai di Sungai Rambai Riverside, di sini, pada malam Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis.
Baru-baru ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, akan meminta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) membuat kajian bagi melihat kebolehupayaan Sungai Kesang sebagai medium tarikan pelancong Gerbang Selatan.
Menurutnya, ini termasuk mewujudkan kemudahan River Cruise yang ketiga di Melaka, namun segala keputusan bergantung kepada hasil kajian itu.
"Saya tak tahu panjang (sungai) dan boleh tak dijadikan kawasan tarikan pelancong ini bergantung pada kajian nanti.
"Sekiranya sudah pasti kita akan majukan sebagai tempat tarikan pelancong yang ketiga dalam menyediakan River Cruise," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!