Iklan raya tampil kisah benar sarat mesej, sentuh emosi
SHAH ALAM - Iklan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dipenuhi dengan jalan penceritaan kreatif dan sarat permainan emosi serta mesej yang sememangnya dapat menyentuh jiwa masyarakat.
Memandangkan perayaan itu bakal disambut tidak lama lagi, maka banyak iklan raya yang yang dihasilkan oleh beberapa syarikat dan jenama pakaian terkenal disiarkan.
Antara yang berjaya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia ialah iklan raya bertajuk Conteng, Mak dan Lembaran Baharu.
Uniknya, ketiga-tiga iklan berkenaan telah diadaptasi dari kisah benar iaitu melalui pengalaman hidup mereka untuk dijadikan pengajaran kepada masyarakat seterusnya membangkitkan semangat Syawal dalam diri.
Tinjauan di ruangan komen menerusi Facebook mendapati, pelbagai pandangan dilontarkan netizen malah tidak kurang juga yang sebak dengan sentuhan iklan berkenaan serta berpendapat penerapan mesej yang dibawa adalah luar biasa.
Salah seorang pengguna Facebook, Rashidi Maat berkata, iklan raya bertajuk Mak yang dihasilkan oleh jenama pakaian terkenal itu membuatkan dia terkenang memorinya sewaktu kecil kerana menampilkan watak seorang ibu seolah-olah memilih kasih tetapi sebenarnya amat menyayangi kesemua anaknya.
"Terkenang waktu kena rembat dengan mak guna pelepah pisang sebab balik berkubang sampaikan saya lari rumah nenek kerana merajuk, tak jauh pun tetapi bila lapar balik juga ke pangkuan mak. Tak sabar mahu balik kampung raya ini," katanya.
Sementara itu, pengguna Facebook, Abdul Fuad Mat Alias turut memberikan pandangan bahawa iklan Lembaran Baharu telah memberikan kesan mendalam dalam jiwa kerana memaparkan kisah benar mengenai peguam berjaya membantu dan menyelamatkan seorang ibu yang hampir dipenjara kerana mencuri kotak pensel di sebuah pasar raya untuk dihadiahkan kepada anaknya.
"Sungguh terkesan iklan raya ini di mana kehebatan seorang peguam serta kasih ibu untuk menggembirakan anaknya walaupun terpaksa mencuri," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook iaitu Palie Niezsa berkata, iklan raya bertajuk Conteng pula perlu dijadikan pengajaran kepada semua masyarakat termasuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
"Perlu jadi iktibar kepada saya serta ibu bapa semua, jangan buat anak-anak seperti ini kerana ALLAH SWT mencipta manusia dengan kelebihan masing-masing cuma kena didik dengan kasih sayang serta sentiasa doakan mereka berjaya di dunia dan akhirat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!