Dugong ditemui mati terdampar di Tanjung Leman

Keadaan bangkai dugong yang terdampar di kawasan pantai di Tanjung Leman, Mersing. - Foto Jabatan Perikanan Johor.
Keadaan bangkai dugong yang terdampar di kawasan pantai di Tanjung Leman, Mersing. - Foto Jabatan Perikanan Johor.
A
A
A

MERSING - Seekor dugong ditemui mati terdampar di kawasan pantai berhampiran Tanjung Leman pada Sabtu.

Jabatan Perikanan negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, dugong dewasa hampir satu meter panjang itu dipercayai mati beberapa hari yang lalu.

"Anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Mersing bergegas ke lokasi selepas menerima aduan awam mengenai penemuan bangkai pada Sabtu.

"Sampel bangkai dugong tersebut telah pun diambil untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Menurut Jabatan Perikanan negeri, perairan di Johor adalah satu-satunya tempat di Semenanjung Malaysia di mana dugong boleh ditemui.

Bagaimanapun, populasi dugong semakin berkurangan akibat daripada ancaman kehilangan serta kemusnahan habitat dan ekosistem rumput laut.

Anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Mersing mengambil sampel bangkat dugong yang mati terdampar di Tanjung Leman, Mersing. - Foto Jabatan Perikanan Johor.
Anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Mersing mengambil sampel bangkat dugong yang mati terdampar di Tanjung Leman, Mersing. - Foto Jabatan Perikanan Johor.

"Kira-kira 10 kematian dugong terutamanya anak dilaporkan antara tahun 2015 hingga 2022.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tiada data sebenar yang tepat mengenai populasi dugong di Kepulauan Mersing, Pertubuhan Penyelidikan MareCet menganggarkan terdapat kurang 100 ekor sahaja.

"Padang rumput laut di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi di Johor merupakan kawasan ragut yang penting bagi dugong," katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia dalam proses untuk mewartakan kawasan Kepulauan Mersing sebagai kawasan Santuari Dugong untuk melindungi populasi haiwan itu dan rumput laut.

"Dengan adanya penubuhan santuari ini diharap dapat memberi perlindungan kepada spesies tersebut malah meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang spesies terancam dugong.

"Sekiranya orang awam menemui spesies marin terancam terdampar, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan atau Pangkalan Perlindungan Perikanan atau Stesen Pemantauan, Jabatan Perikanan yang terdekat atau boleh terus berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi (FISHCOM) yang beroperasi 24 jam di talian 03-8870 4058," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!