Morales gesa tubuh militia bersenjata
SUCRE - Bekas presiden Bolivia, Evo Morales menggesa rakan senegaranya untuk membentuk kumpulan pertahanan bagi menentang kemungkinan keganasan oleh pemerintah baharu yang mengambil alih pentadbiran dalam rampasan kuasa hujung tahun lalu.
Menerusi rakaman yang dibocorkan kepada radio Bolivia, Morales berkata, beliau dan penyokongnya 'terlalu percaya' menjelang Pilihan Raya Presiden tahun lalu dan mereka sepatutnya mempunyai Pelan B.
"Sekiranya sekarang dan dalam masa terdekat saya atau seseorang kembali ke Bolivia, kita mesti menjadi lebih teratur seperti rakyat militia bersenjata di Venezuela," katanya dalam rakaman itu.
Dalam satu temu bual dengan Reuters semalam, Morales mengesahkan rakaman itu adalah suaranya dan menegaskan rakyat mempunyai hak untuk mempertahankan diri jika kerajaan baharu bergerak untuk menyerang mereka.
"Di Bolivia, jika pasukan bersenjata menembak atau membunuh rakyat, rakyat ada hak untuk mengatur keselamatan mereka.
"Kita tidak bercakap tentang senjata api tetapi lebih kepada pertahanan seperti lastik. Pada masa-masa tertentu, kumpulan ini dipanggil militia, kesatuan keselamatan, kesatuan polis atau pertahanan pengawal komunal. Ia bukan benda baru," katanya.
Morales yang kini berada di Argentina telah dibuang negeri sejak beliau dipaksa meletak jawatan pada November lalu selepas berada di bawah tekanan daripada tentera dalam rampasan kuasa yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Presiden pribumi pertama negara itu diberi suaka di Mexico namun berikrar tidak akan berundur dan akan terus berjuang dari luar negara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!