Pelajar tahfiz berhimpun, gemakan alunan al-Quran di masjid negeri

Mohd Shahzihan (tiga dari kanan) menyampaikan sijil syahadah 30 juzuk kepada salah seorang huffaz.
Mohd Shahzihan (tiga dari kanan) menyampaikan sijil syahadah 30 juzuk kepada salah seorang huffaz.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,500 pelajar tahfiz seluruh Selangor berhimpun mengalunkan bacaan al-Quran selama dua hari sempena Ijtimak Huffaz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Program tahunan yang memasuki edisi ke-17 itu dianjurkan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam & Tahfiz Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa atau lebih dikenali PU Hafiz berkata, program hafazan al-Quran 30 juzuk itu diadakan selema dua hari pada Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, menerusi program ini, pelajar akan membaca al-Quran secara bergilir satu juzuk setiap seorang yang berlangsung selama 24 jam.

Peserta terdiri pelajar tahfiz menyertai program tahunan Ijtimak Huffaz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Peserta terdiri pelajar tahfiz menyertai program tahunan Ijtimak Huffaz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

"Ini dapat membantu para pelajar untuk meningkatkan kualiti hafazan.

"Kita juga santuni masyarakat setempat dengan klinik al-Fatihah untuk membetulkan bacaan. Mereka yang datang akan diberikan hadiah mushaf dari Madinah," katanya pada pelancaran program pada Ahad.

Pada program tersebut, seramai tujuh pelajar tahfiz menerima sijil syahadah 30 juzuk Al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada program sama turut menyampaikan Bantuan Dermasiswa Huffaz Fakir Miskin Fisabilillah sebanyak RM10 juta.

Turut dilancarkan tabung Palestin dengan sasaran kutipan RM5 juta untuk disalurkan saudara di Gaza yang kini berdepan konflik peperangan.

LZS menyampaikan Bantuan Dermasiswa Huffaz Fakir Miskin Fisabilillah sebanyak RM10 juta.
LZS menyampaikan Bantuan Dermasiswa Huffaz Fakir Miskin Fisabilillah sebanyak RM10 juta.

Dalam pada itu, PU Hafiz berkata, dalam menghargai huffaz di Selangor, dua anugerah utama iaitu Tokoh Huffaz dan Hamlah al-Quran disampaikan.

"Di samping itu, iftar jamaie turut dilaksanakan melalui bukaan tabung yang membolehkan masyarakat menyumbang untuk tajaan iftar.

"Istimewa penganjuran kali ini, ia dihadiri sendiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad yang melihat sendiri program dan beliau bersedia membantu dalam beberapa perkara Insya-ALLAH," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!