Pencemaran air tidak selesai tanpa tingkatkan penguatkuasaan
SHAH ALAM - Hukuman lebih berat tidak mampu menyelesaikan pencemaran air jika terdapat kekurangan tenaga kerja untuk meningkatkan penguatkuasaan.
Memetik laporan The Star, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, semua undang-undang terbaik di dunia tidak akan menyelesaikan pencemaran sungai tanpa penguatkuasaan yang betul.
"Terdapat pelbagai jenis pencemaran seperti farmaseutikal, kumbahan, bahan kimia dan juga cakera komputer dibuang ke dalam sungai.
"Pada asasnya, kita menganggap sungai kita sebagai tong sampah," katanya.
Beliau mencadangkan agar pengawasan dan penguatkuasaan dipertingkatkan bukan sahaja daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tetapi dilakukan juga oleh agensi lain seperti majlis tempatan.
"Walaupun hukuman penjara mandatori berfungsi sebagai penghalang, jumlah denda yang tinggi tidak banyak memberi kesan kepada syarikat besar tertentu kerana mereka mampu membayarnya.
"Para pengarah syarikat mesti bertanggungjawab atas sebarang kesalahan mencemarkan sumber air dan kerajaan perlu mengambil tindakan," jelasnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Nivas Ragavan berkata, walaupun hukuman lebih berat adalah langkah ke arah yang betul tetapi tidak bermakna tanpa penguatkuasaan kerana kekurangan tenaga kerja.
Beliau turut mencadangkan supaya penguatkuasaan dan penyiasatan terhadap pencemaran sungai diperluaskan kepada agensi lain.
"Kuasa untuk menyiasat harus menjadi usahasama antara agensi persekutuan dan negeri termasuk majlis tempatan, pejabat tanah dan JAS.
"Kilang haram terutama yang berhampiran sungai adalah masalah dan harus menjadi sasaran pihak berkuasa. Penguatkuasaan lebih ketat menggunakan teknologi dron dan kecerdasan buatan untuk menjalankan pengawasan boleh membantu mengurangkan pencemaran serta melindungi sumber air,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!