8.4 juta rakyat terima STR Fasa 2 mulai Rabu ini
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan dikreditkan mulai Rabu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan STR Fasa 2 kali ini meningkat sebanyak 20 peratus dengan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.
Jelas beliau, kerajaan sentiasa meneruskan bantuan STR di mana jumlah penerima ditambah kepada 9 juta pada tahun ini yang memanfaatkan oleh 60 peratus rakyat dewasa.
"Peruntukan STR pada tahun lalu berjumlah RM8 bilion iaitu tambahan pada sebelumnya, manakala pada tahun ini jumlahnya ialah sebanyak RM10 bilion.
"Itu geran secara langsung kepada rakyat, maknanya secara maksimum. Kalau 2023, jumlahnya sebanyak RM3,100 satu keluarga, pada 2024, ia sebanyak RM3,700 setiap keluarga," katanya menerusi ucapan di perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.
Ujar beliau, jumlah bayaran STR untuk golongan bujang juga meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu dengan menyaksikan peningkatan daripada RM350 kepada RM500.
"Jadi, Fasa 1 sudah bayar pada Januari sebanyak RM500, Insya-Allah Fasa 2 akan dibayar pada 3 April," jelasnya.
Sementara itu, menerusi kenyataan oleh Kementerian Kewangan, Anwar berkata, selain dikreditkan ke dalam akaun penerima, sumbangan tersebut akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori
kelayakan STR masing-masing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.
"Insya-ALLAH, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” ujar beliau.
Menurutnya, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada
bantuan.
Justeru, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun
ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori
kelayakan STR dimuktamadkan.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
"Kementerian Kewangan ingin menasihati
penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR," katanya.
Pembayaran STR Fasa 1 telah diagihkan kepada 8.2 juta penerima pada Januari lalu.
Bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, mereka menerima sebanyak RM100 sehingga RM650, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, penerima layak menerima RM100 hingga RM300.
Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing menerima sebanyak RM150 dan RM100.
TAMAT
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!