Simpan duit bantuan STR, JKM untuk ke Makkah
KOTA BHARU - Tiga tahun menjadi penghuni di Rumah Seri Kenangan (RSK) di Pengkalan Chepa, di sini, digunakan sepenuhnya oleh seorang warga emas untuk memperbaiki diri dan amalan agama.
Abdul Mutalib Abdullah, 79, bahkan menyimpan hasrat untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah atau haji dan kerap berdoa dalam tempoh 10 Ramadan terakhir agar hajat itu termakbul.
Beliau mengakui lebih senang menjadi penghuni RSK kerana dapat mengikuti kelas-kelas agama dan mengaji Quran yang diadakan oleh pihak berkenaan.
“Dulu, saya tak pandai mengaji, tahu sembahyang dan baca surah al-Fatihah serta satu surat pendek sahaja.
“Sejak ke sini, saya boleh belajar mengaji Quran dan mengikut ayat-ayat yang orang lain baca, selainnya saya ingin pergi ke Makkah kerana usia pun sudah lanjut, sudah tidak lama berada di dunia,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Sinar Harian di RSK di sini pada Isnin.
Ujar Abdul Mutalib, dia mengumpul wang sejak sekian lama untuk tujuan menunaikan umrah atau haji di Makkah dan berharap akan dapat mencapai impian tersebut sebelum dia ‘menutup mata’.
“Saya terima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini serta mengumpulkannya di dalam bank untuk tujuan ke Makkah, tetapi belum cukup.
“Apabila dah cukup nanti, saya tidak akan membuat masa dan semoga ALLAH menjemput saya ke sana,” katanya.
Bapa tiga anak itu turut berpesan kepada sesiapa pun supaya sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa walaupun sudah bergaji besar atau hidup mewah.
Bagaimanapun, dia pula tidak betah untuk tinggal bersama anak-anak kerana tidak mahu menyusahkan mereka, selain mengakui gembira menjadi penghuni RSK.
“Anak-anak saya ada yang tinggal jauh di Kedah dan sesekali datang bawa cucu melawat saya di sini dan sebagai anak sememangnya wajib berbuat baik dengan ibu bapa.
“Saya sendiri gembira tinggal di sini dan berhasrat untuk pulang berhari raya bersama rakan-rakan terdekat nanti,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!