Suami isteri ditahan, dalang promosi judi, along di bazar Ramadan

Tangkapan ke atas sepasang suami isteri yang membawa kepada rampasan buku catatan senarai peminjam wang, kereta, 120 keping kad tawaran pinjaman wang dan tawaran judi. Foto Polis Perak
Tangkapan ke atas sepasang suami isteri yang membawa kepada rampasan buku catatan senarai peminjam wang, kereta, 120 keping kad tawaran pinjaman wang dan tawaran judi. Foto Polis Perak
A
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri ditahan disyaki menjadi dalang penyebaran iklan pinjaman along dan judi di sekitar kawasan bazar Ramadan di Stadium Perak di sini.

Suspek berusia 54 dan 53 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Sitiawan sekitar jam 12.45 malam pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam tangkapan itu, turut dirampas telefon bimbit, buku catatan senarai peminjam wang, kereta, 120 keping kad tawaran pinjaman wang dan tawaran judi.

Menurutnya, semasa soal siasat dijalankan, lelaki terbabit mengaku telah ke bazar Ramadan Stadium Perak bersama dua lelaki kurang upaya (OKU) yang diupah dengan bayaran RM30 bagi mengedarkan kad.

"Berdasarkan semakan buku catatan yang dirampas, hampir 90 peratus peminjam wang daripada suspek merupakan orang Melayu yang berada di sekitar Manjung.

"Jadi suspek bertindak datang ke bazar Ramadan kononnya bagi mengembangkan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dengan mencari peminjam baharu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, suspek didapati terlibat dalam perniagaan tersebut sejak 2022 dan mengaku mengenakan kadar bunga yang tinggi secara harian.

Katanya, polis kini sedang mengesan dua lagi individu yang terlibat dalam aktiviti tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Artikel Berkaitan:

"Soal siasat masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian dan pinjaman wang haram boleh menyalurkannya kepada polis untuk tindakan," katanya.

Pada Sabtu, rakaman video berdurasi 1.01 minit tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai-gerai di bazar Ramadan.

Tindakannya itu ditegur oleh peniaga di bazar berkenaan sebelum diminta beredar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!