Bank Dunia jangka inflasi keseluruhan Malaysia 2.5 peratus tahun ini

Inflasi keseluruhan Malaysia dijangka menyederhana kepada sekitar 2.5 peratus pada 2024. Gambar hiasan
Inflasi keseluruhan Malaysia dijangka menyederhana kepada sekitar 2.5 peratus pada 2024. Gambar hiasan
A
A
A

INFLASI keseluruhan Malaysia dijangka menyederhana kepada sekitar 2.5 peratus pada 2024, mencerminkan keadaan kos dan permintaan yang stabil, kata Bank Dunia.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perubahan dalam subsidi kerajaan dan langkah kawalan harga yang berpotensi akan berlaku, katanya dalam Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik April 2024.

"Inflasi teras juga mungkin akan menurun pada 2024 dan kemiskinan dijangka terus berkurangan," katanya.

Bank Dunia menekankan bahawa pada Januari 2024, inflasi Malaysia berada pada 1.5 peratus manakala inflasi teras juga menyederhana kepada 1.8 peratus.

"Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pada Mac dan dasar monetari dianggap menyokong ekonomi.

"Bank pusat juga menjangkakan inflasi kekal sederhana apabila keadaan kos dan permintaan stabil. Bagaimanapun, walaupun inflasi yang sederhana, isi rumah berpendapatan rendah telah mengalami inflasi yang lebih tinggi,” katanya.

Pada Disember 2023, inflasi bagi isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan adalah 1.7 peratus, lebih tinggi daripada inflasi keseluruhan sebanyak 1.5 peratus.

Ia menjejaskan kumpulan pendapatan berkenaan secara tidak seimbang kerana perbelanjaan mereka lebih tinggi untuk keperluan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Bank Dunia menyatakan bahawa sasaran sifar kemiskinan tegar kerajaan telah dicapai di beberapa negeri.

Namun begitu, ia menekankan bahawa pandangan lebih luas dan sasaran pembasmian kemiskinan yang lebih bercita-cita tinggi melebihi 0.2 peratus kemiskinan tegar negara semasa turut diperlukan.

Anggaran rasmi terkini menunjukkan bahawa kemiskinan mutlak pada 2022 kekal lebih tinggi daripada tahap prapandemik.

Bank Dunia berkata ketidaksamaan pendapatan seperti yang diukur oleh indeks Gini berdasarkan pendapatan bersih per kapita isi rumah berada pada 40.7 pada tahun 2021 dengan aliran berbeza diperhatikan di seluruh negeri kerana beberapa melihat jurang pendapatan yang semakin melebar. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!