Suami isteri maut kemalangan, hasrat balik raya di Sabah tak kesampaian

Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dan Perodua Myvi
Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dan Perodua Myvi
A
A
A

SEREMBAN - Hasrat sepasang suami isteri untuk pulang beraya ke Sabah tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Persiaran Forest Height 1, di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Aswan Sulaiman, 29, dan Nur Khairunnisya Samsudin, 23, yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Senawang.

Bapa Allahyarham Nur Khairunnisya, Samsudin Basirun, 52, berkata, dia pada awalnya menyangka anaknya terlibat kemalangan biasa apabila dihubungi polis memaklumkan kejadian berlaku.

"Ketika itu saya di tempat kerja dan polis hubungi beritahu anak kemalangan.

"Saya ingat kemalangan biasa saja, tapi bila polis beritahu kedua-dua anak saya dah tiada, saya rasa macam nak pengsan," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Isnin.

Menurutnya, mereka sekeluarga sempat sahur bersama pada pagi Isnin, malah anak dan menantunya tidak menunjukkan sebarang tanda yang akan pergi buat selama-lamanya.

Samsudin.
Samsudin.

Bagaimanapun katanya, anaknya sangat teruja untuk pulang berhari raya di Sabah iaitu rumah keluarga suaminya dan telah pun membeli tiket kapal terbang.

Artikel Berkaitan:

"Selepas setahun lebih berkahwin, mereka tak pernah langsung pulang ke Sabah dan ketika majlis perkahwinan pun besan saya yang datang ke sini.

"Tapi memandangkan anak mereka (cucu) sudah berusia lapan bulan, saya suruh mereka pulang bertemu keluarga di sana dan yang sedihnya tiket kapal terbang dah dibeli, begitu juga baju raya," katanya.

Bagaimanapun katanya, hasrat mereka untuk beraya di sana tidak kesampaian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan berlaku membabitkan motosikal mangsa dan sebuah kereta Perodua Myvi.

"Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi yang dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun datang dari Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Height.

"Namun apabila sampai di lokasi, kereta itu telah membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan pada masa sama motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan telah melanggar sisi kiri kereta terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Insp Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!