Gaya klasik kontemporari, minimalis pilihan Syawal 2024
KUALA LUMPUR - Berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan sudah pastinya kaum ibu antara yang paling sibuk dalam menyiapkan segala kelengkapan.
Antara perkara yang paling menjadi perhatian kaum ibu mahupun golongan wanita setiap kali tibanya lebaran adalah warna tema baju raya dan gaya yang akan ditampilkan pada pagi Syawal.
Berdasarkan pemerhatian, gaya klasik kontemporari dan minimalis menjadi pilihan ramai untuk menyambut bulan kemenangan itu.
Bercakap kepada Bernama, pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat berkata, gaya itu menjadi pilihan kerana ia bukan sahaja relevan sepanjang Aidilfitri, tetapi juga selepas Syawal.
"Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan tahun ini memilih gaya minimalis dan klasik kontemporari mungkin kerana keadaan cuaca juga (panas), ramai yang tidak mahu serabut (akibat panas) serta memilih sesuatu yang selesa.
"Ramai juga yang lebih gemar potongan longgar agar tampak lebih selesa selain baju cetak,” katanya yang turut menyarankan orang ramai agar memilih material bersesuaian dengan keadaan cuaca semasa seperti kain kapas dan satin krep supaya dapat dipakai dengan selesa.
Penerima Anugerah 'Malaysia 1st Fashion Designer with the Sustainable Collection' oleh Malaysia Book of Records (MBOR) itu juga menasihati orang ramai supaya tidak terlalu mengikut trend warna kerana bukan semua orang bersesuaian dengan sesuatu warna berkenaan.
"Apa yang lebih penting, jika mahu mengikut trend perlu cuba dahulu (pakaian) warna itu dan tengok ia bersesuaian atau tidak dengan kulit kita,” katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Fesyen, Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid turut bersetuju gaya potongan klasik selain interpretasi kontemporari inspirasi daripada busana tradisional terus menjadi pilihan tahun ini.
"Pemilihan gaya klasik suntikan elemen kontemporari ini sememangnya menjadi pilihan sejak dahulu hingga kini setiap kali masyarakat menyambut serta meraikan lebaran. Ini adalah sebahagian daripada budaya di negara ini,” katanya.
Ditanya mengenai warna yang mendapat sambutan tahun ini, Faizal berkata, kini tiada lagi pilihan warna yang terlalu mengikut aliran sebaliknya pilihan variasi warna rekaan baju raya yang terdapat di pasaran adalah cukup pelbagai.
"Pembeli bebas untuk memilih warna yang paling disukai dan yang paling menyerlah serta menarik pada pandangan mereka. Semuanya adalah untuk kepuasan diri sendiri agar lebih berkeyakinan ketika menyambut lebaran nanti,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!