Tragedi jala ikan: Mayat isteri ditemukan, anak bongsu masih hilang
SERDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mayat wanita yang terbabit dalam tragedi lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras ditemukan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mayat Juliana, 38, yang lemas semasa menjala ikan bersama suami, Ahmad Suriadi, 40, telah ditemukan oleh pasukan penyelamat pada tengah hari Isnin.
Beliau berkata, mayat wanita tersebut dibawa naik ke darat pada jam 1.20 tengah hari dan jenazahnya telah disahkan oleh Ahmad Suriadi.
"Mayat Juliana ditemukan di Lombong D'Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana, dekat sini kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.
"Usaha mengesan mangsa terakhir iaitu anak bongsu mangsa bernama Riska Amelia, 4, masih giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan lima sekeluarga dibawa arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun, di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, sepasang suami isteri warga Indonesia dan tiga anak mereka yang berusia antara empat hingga 10 tahun dilaporkan sedang menjala di kawasan tersebut.
Kejadian itu menyebabkan kelima-lima mangsa tergelincir dan terjatuh, sebelum dihanyutkan ke sungai berhampiran.
Bagaimanapun suami dan anak lelaki kedua keluarga itu yang berusia sembilan tahun berjaya selamat, manakala anak sulung pasangan itu berusia 10 tahun ditemukan lemas pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!