Penduduk sudah lali lihat buaya di Sungai Belat

Seorang penduduk menunjukkan kelibat dua ekor buaya kelihatan di Sungai Belat berhampiran rumahnya pada Ahad.
Seorang penduduk menunjukkan kelibat dua ekor buaya kelihatan di Sungai Belat berhampiran rumahnya pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kelibat buaya di Sungai Belat berhampiran perkampungan Gudang Rasau di sini bukanlah perkara luar biasa, sebaliknya sungai itu merupakan habitat reptilia berkenaan.

Penduduk yang menetap berhampiran tebing sungai itu mendakwa mereka sudah lali melihat buaya berkeliaran di sekitar sungai tersebut.

Pekerja kontrak, Ibrahim Yunus, 60, berkata, mereka sudah lama mengetahui bahawa Sungai Belat antara tempat asal reptilia itu.

Ibrahim memberitahu sudah menjadi perkara biasa melihat kelibat buaya di Sungai Belat berhampiran penempatan mereka.
Ibrahim memberitahu sudah menjadi perkara biasa melihat kelibat buaya di Sungai Belat berhampiran penempatan mereka.

Menurutnya, situasi tersebut sudah menjadi kebiasaan penduduk dan mereka tidak pernah mengganggu reptilia berkenaan setiap kali muncul di permukaan air.

"Bila kita tahu kawasan (habitat) dia (buaya), selalu lalu (berenang) dalam sungai ini, tapi setakat ini, tidak pernah kacau orang.

"Kadangkala dia (buaya) tenggelam timbul, untuk memberitahu kita dia berada di kawasan ini. Jadi, kita faham, sekadar diam dan tengok sahaja kehadirannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di tebing Sungai Belat di kampung Gudang Rasau pada Isnin.

Sungai Belat antara kawasan habitat buaya.
Sungai Belat antara kawasan habitat buaya.

Artikel Berkaitan:

Ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian di kawasan perumahan penduduk di kampung Gudang Rasau berhampiran Sungai Belat turut melihat kelibat buaya.

Reptilia terbabit berwarna hitam, hanya menampakkan sebahagian kepala sebelum tenggelam.

Tambah Ibrahim, sejak kecil lagi dia sudah melihat buaya dan acap kali terserempak kelibat reptilia tersebut.

Namun bapa kepada tiga anak itu memberitahu, sehingga kini, tiada perkara buruk menimpa penduduk setempat berkaitan insiden serangan buaya.

"Boleh kata, kita sudah kalis (biasa), dan tidak takut pun tengok dia (buaya). Tapi kita kena jaga mulut. Jangan celopar kata hendak tangkap atau katok (pukul).

"Kalau celopar dia mari, sebab dia pun macam kita manusia, boleh tahu," ujarnya.

Kepala buaya timbul di permukaan air ketika tinjauan Sinar Harian pada Isnin.
Kepala buaya timbul di permukaan air ketika tinjauan Sinar Harian pada Isnin.

Bagi, suri rumah, Zulika Mohd Yunus, 56, dia pernah beberapa kali melihat kemunculan buaya di Sungai Belat di hadapan rumahnya.

"Kita sedar itu tempat dia (buaya), jadi kita sentiasa beringat. Macam semalam (Ahad) anak duduk dalam rumah secara tidak sengaja nampak kelibat dua ekor buaya.

"Jadi mereka rakam dan muat naik dalam media sosial untuk suka-suka, itu sahaja, tapi tidak sangka ia tular. Tapi kalau ikutkan ini benda biasa yang selalu kami tengok," katanya.

Bagi, suri rumah, Atih Yusof, 27, sepanjang menetap di sini, tidak pernah melihat buaya naik ke darat di sekitar rumah mereka.

"Rezeki dapat tengok buaya ini, tapi kita tidak usik dia (buaya) sebab itu habitat dia," katanya yang memaklumkan tiada kejadian buruk berlaku disebabkan serangan buaya di Sungai Belat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin mengesahkan sekitar Sungai Belat adalah habitat buaya.

Katanya, papan tanda mengenai habitat buaya itu turut dinaikkan di beberapa kawasan bagi memberi peringatan kepada masyarakat.

Papan peringatan mengenai kawasan habitat buaya turut dinaikkan oleh Perhilitan.
Papan peringatan mengenai kawasan habitat buaya turut dinaikkan oleh Perhilitan.

"Di situ (Sungai Belat) memang habitat buaya. Begitu juga di kawasan Sungai Kuantan dan semua anak sungai yang (mempunyai kawasan) agak luas, akan ada buayalah.

"Jadi, masyarakat sudah tahu persekitaran di situ, cuma kena jaga diri, hindarkan dari kawasan itu terutama di kawasan lubuk yang menjadi sarang buaya," ujarnya

Beliau juga meminta agar masyarakat tidak mengganggu habitat buaya.

"Bila kita masuk ke sungai kena faham apa yang ada di situ. (Kita kena tahu) bagaimana haiwan ini berinteraksi untuk menunjukkan ia tidak (suka) dengan kehadiran kita dengan (timbul dan kocakan air).

"Itu semua sebenar penting, bagi elak sebarang masalah (kejadian tidak diingini berlaku)," kata beliau lagi.

Pada malam Ahad, tular satu rakaman video berdurasi 35 saat di laman sosial Facebook I Love Pahang berhubung kemunculan beberapa ekor buaya di Gudang Rasau di sini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!