Bakal pengantin cari bapa kandung
TEMERLOH - Seorang bakal pengantin, Nuriyah Mat Rais, 27 dari Kerdau di sini buntu mencari bapa kandungnya, Mat Rais Muhamad, 55 selepas pelbagai usaha dilakukan sejak Mac tahun lalu masih gagal hingga kini.
Anak keempat daripada enam beradik itu bakal melangsungkan pernikahannya pada 11 Mei depan.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan ayahnya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada 2012 dan terus terputus hubungan hingga kini.
"Bapa bercerai dengan ibu, Rosnah Husin, 57, ketika saya berusia enam tahun.
"Saya sudah pergi ke alamat yang tertera di kad pengenalan bapa di Kampung Cengkenek dekat Kuala Krau tapi tidak ditemui juga malah adik-beradiknya tercari-cari kerana turut sudah lama tidak berjumpa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujarnya, pelbagai usaha lain telah dilakukan namun masih gagal menemui bapa kandungnya.
Dia yang bekerja sebagai perunding pemasaran di Perak turut berharap agar bapa kandungnya dapat tampil untuk membantu melancarkan urusan tersebut.
"Dalam bulan baik, Ramadan ini moga doa termakbul segera temui selain rasa rindu terhadapnya selepas sekian lama tak dapat berjumpa," jelasnya lagi.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai bapa kandungnya boleh menghubungi Nuriyah di talian 013-5162114.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!