Erdogan akui kekalahan, parti makin hilang taring
ANKARA - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogran pada Ahad mengakui kekalahan pada pilihan raya tempatan yang berlangsung di negara itu.
Beliau menyifatkan keputusan pengundian tersebut sebagai 'titik perubahan' buat parti pimpinannya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memegang kuasa selama dua dekad.
“Kita gagal mencapai keputusan yang diinginkan. Sudah tentu, kami akan menghormati keputusan dan tidak akan mempersoalkan kuasa suara rakyat,” jelasnya.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan kemajuan besar dicapai Parti Rakyat Republikan (CHP), sekali gus menewaskan AKP di bandar utama sepeti Ankara dan Istanbul.
Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu meraikan kemenangan awal bersama para penyokongnya.
“Esok adalah hari musim bunga baharu buat negara kita,” katanya yang disambut sorakan gembira kumpulan besar yang berhimpun dan menunggu keputusan pemilihan tersebut. Immoglu, 52, kini dilihat sebagai pencabar utama kepada Erdogan pada Pilihan Raya Presiden 2028.
Di Ankara, Datuk Bandar, Mansur Yavas juga mengumumkan kemenangan beliau di hadapan para penyokong CHP setelah beliau mendahului pesaing AKP dengan lebih 50 peratus undi selepas hampir separuh kiraan undi dilakukan.
“Suara mereka yang tidak dihiraukan selama ini telah menghantar mesej jelas kepada pemerintah,” ujarnya.
Penyokong pembangkang turut meraikan kemenangan di bandar ketiga terbesar, Izmir dan Antalya.
Keputusan itu juga menunjukkan AKP juga bakal tewas di beberapa bandar yang menjadi kubu kuat mereka.
“Pengundi telah memilih untuk mengubah 'wajah' Turkiye. Mereka mahu membuka pintu untuk iklim politik baharu di negara ini,” menurut Pengerusi CHP, Ozgur Ozel. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!