Hadiah Kewartawanan Malaysia 2023 catat penyertaan tertinggi
CYBERJAYA - Malaysian Press Institute (MPI) menerima sebanyak 488 penyertaan daripada 55 pertubuhan media bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2023 (HKM 2023).
Karya-karya kewartawanan yang dihasilkan dan diterbitkan sepanjang tahun 2023 itu akan berentap untuk merebut hadiah wang tunai RM450,000 tajaan Petronas.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar berkata, HKM 2023 mencatatkan penyertaan tertinggi diterima oleh MPI sejak Hadiah Kewartawanan Malaysia diperkenalkan pada tahun 1980.
Menurutnya, tahun ini memperlihatkan unjuran kenaikan 21 peratus atau 488 penyertaan berbanding 386 yang diterima tahun sebelumnya.
“Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan, disusuli Kewartawanan Foto Terbaik dengan 44 penyertaan dan Laporan Berita Terbaik, 37 penyertaan.
"MPI juga menerima dua pencalonan Tokoh Wartawan Negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Mustapa, peningkatan penyertaan ini didorong oleh pertambahan enam kategori baharu yang diperkenalkan iaitu Kewartawanan ESG Terbaik, Bicarawara Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.
Majlis penyampaian anugerah pada Malam Wartawan Malaysia bakal diadakan pada 7 Jun 2024 bertempat di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Majlis tahunan anjuran MPI ini bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan pada tahun dipertandingkan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!