Anggota polis, tentera, pembantu kesihatan antara dicekup terlibat dadah
KOTA BHARU - Anggota polis, tentera dan pembantu kesihatan antara 940 suspek terlibat kes dadah yang dicekup dalam Ops Tapis Bersepadu di negeri ini bermula 10 hingga 31 Mac lalu.
Selain itu, dua pelajar sekolah masing-masing berusia 16 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sepanjang operasi itu pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, heroin, ganja, syabu, pil psikotropik, erimin 5, ubat batuk, air dan daun ketum bernilai RM763,429.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, daripada keseluruhan tangkapan, seorang lelaki berusia 30 tahun dicekup membawa sebanyak 600 biji pil kuda di Kampung Aril Pauh Lima, Melor di sini pada 31 Mac lalu.
"Suspek ditahan kira-kira jam 4.10 petang semasa berada di tepi jalan di kampung terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!