Tekong darat ditahan bersama tiga warga Kemboja
KOTA BHARU - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menahan empat lelaki warga Kemboja termasuk seorang tekong darat di jalan belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Tumpat pada Isnin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek ditahan menerusi penugasan 'Mobile Snap Chek' pada jam 9.30 pagi selepas melihat sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pemadu kereta yang berusia 43 tahun itu mempunyai pasport dan pas lawatan ke Malaysia yang masih sah.
"Bagaimanapun, tiga lagi warga asing itu memiliki pasport yang masih sah laku tetapi tidak mempunyai pas lawatan ke negara ini," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, ketiga-tiga warga asing itu masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Ujarnya, mereka kemudiannya akan menaiki kereta yang dipandu oleh salah seorang warga asing lain ke Kota Bharu.
"Warga asing yang memandu kereta tersebut sering keluar masuk ke negara ini.
"Kereta yang digunakan itu dipercaya telah dibeli oleh seorang lelaki Melayu di Kota Bharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!