NACCOL beri amaran terakhir kepada Kawalselia Padi dan Beras
ALOR SETAR - Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memberi amaran terakhir kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras agar segera mengedarkan 14 juta kampit beras putih tempatan (BPT) seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini kerana setelah hampir dua minggu tinjauan mendapati hanya sejumlah kecil BPT berada di beberapa kedai runcit dan pasar raya.
“Ini amaran terakhir, tidak ada tempoh lagi kerana tempoh yang diberikan sudah berlalu.
"Kita tidak mahu tuduh mana-mana pihak tetapi kalau mereka yang dipertanggungjawabkan gagal buat kerja, ambil tindakan pada mereka supaya isu beras ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menemani Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Allahyarham Mohd Fuad Yaacob di rumahnya di Alor Janggus di sini pada Isnin.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras perlu mengumumkan berapa kampit BPT yang telah diedarkan di seluruh negara supaya rakyat jelas dan tidak memandang sinis kepada kerajaan.
"Kita minta mereka umumkan berapa jumlah kampit beras yang telah diedarkan ke seluruh negara sehingga kini kerana dalam mesyuarat NACCOL yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyebut sebanyak 14 juta kampit beras sedia diedarkan.
"Rakyat perlu jelas berapa kampit beras yang telah diedarkan supaya rakyat yang ternanti-nanti ini dapat membeli beras pada harga murah terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata, penjelasan berhubung BPT itu juga perlu disegerakan memandangkan tempoh yang cukup lama telah diberikan kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras.
“Sepatutnya kena jelaskan segera kerana sudah 13 hari setelah keputusan dibuat, terlalu lama rakyat terpaksa menunggu. Beras ini kita makan hari-hari, tiga kali sehari jadi mana boleh tunggu lagi dan tambahan pula Aidilfitri hampir tiba, ini tentunya keperluan dan permintaan beras meningkat," katanya.
Pada Sabtu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, BPT masih tidak kelihatan dalam pasaran walaupun Perdana Menteri telah mengarahkan stok bekalan barang keperluan itu diedarkan.
Berdasarkan tinjauan di 105 lokasi pasar raya juga mendapati hanya lima tempat mempunyai bekalan BPT dalam jumlah yang sangat kecil.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!