Tarik pelanggan, jual bateri telefon tiruan serendah RM20

Muhammad Zahir (tengah) menunjukkan bateri telefon bimbit tiruan yang dirampas.
Muhammad Zahir (tengah) menunjukkan bateri telefon bimbit tiruan yang dirampas.
A
A
A

SEREMBAN - Menjual bateri telefon bimbit tiruan dengan harga 80 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dikesan menjadi taktik dua kedai aksesori telefon bimbit di Terminal 1 dan Dataran Centrio di sini untuk menarik pelanggan.

Difahamkan harga bateri yang ditawarkan premis tersebut serendah RM20 sedangkan harga pasaran untuk bateri tulen antara RM150 hingga RM200.

Bagaimanapun kegiatan mereka yang dipercayai sejak enam tahun itu terbongkar apabila diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan pada Isnin.

Antara bateri telefon bimbit tiruan yang dirampas.
Antara bateri telefon bimbit tiruan yang dirampas.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam operasi bersama pemilik cap dagang itu, lebih 400 bateri telefon bimbit pelbagai jenama dan penutup belakang telefon bimbit yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM47,739 telah dirampas.

"Operasi ini kita lakukan pada jam 12.15 tengah hari sehingga 2 petang atas risikan selama tiga minggu selepas aduan daripada pemilik cap dagang.

"Dalam serbuan itu kita telah menyita 257 unit bateri jenama Huawei, 198 bateri jenama Xiaomi pelbagai model dan 5 unit bateri jenama Samsung serta 140 penutup belakang telefon bimbit jenama Huawei," katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDN Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja telah ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti pemilik yang terlibat untuk dituduh di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Pengguna dinasihatkan untuk dapatkan alat ganti bagi ketiga-tiga jenama telefon bimbit ini hanya di pusat servis yang berdaftar dengan pemilik cap dagang saja kerana jika di tempat lain ia adalah tiruan.

"Sepatutnya pengguna juga sudah tahu yang barangan dijual adalah tiruan kerana harga ditawarkan terlampau murah," katanya.

Bagaimanapun katanya, trend kes barangan tiruan di negeri ini adalah menurun dan ini merupakan kes pertama tahun ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!