Penumpang OKU bakal nikmati tambang feri percuma
GEORGE TOWN - Penumpang orang kurang upaya (OKU) bakal menikmati tambang percuma untuk perkhidmatan feri bagi semua kategori iaitu pejalan kaki, basikal dan motosikal.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya dengan kerjasama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) amat prihatin dan cakna dengan golongan OKU yang menggunakan perkhidmatan feri.
Menurutnya, mengambil kira sifat kebersamaan dan tidak mengetepikan golongan berkenaan bermula 8 April depan, golongan OKU akan menikmati tambang feri percuma.
"SPPP dan PPSB telah memperhalusi mekanisme pelaksanaan tambang percuma ini di mana individu OKU perlu hadir mendaftar di mana-mana kaunter terminal feri sama ada di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ataupun di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dengan membawa kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Pemberian ini adalah tanpa had dan diharapkan dapat meringankan beban kos pengangkutan golongan berkenaan di samping menjadi pilihan yang terbaik selain menggunakan Jambatan Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi PPSB, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza; Pengurus Besar SPPP, Dr V Vijayaindiaran dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Sasedharan Vasudevan.
Sementara itu, Soon Hin berkata, SPPP dan PPSB akan terus melaksanakan sebarang inisiatif yang dilihat dapat memberi kebaikan kepada orang awam.
Katanya, pelbagai penambahbaikan telah pun dilaksanakan baik dari segi pengalaman menaiki feri dan kemudahan fasiliti di terminal feri.
"Semua ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat seluruh pengguna feri," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!