Desak rakyat boikot Petronas tidak wajar - Perdasama

Mohd Azamanizam
Mohd Azamanizam
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha untuk mendesak rakyat memboikot Petronas adalah tindakan tidak wajar kerana isu berkenaan telah menemui jalan penyelesaian menerusi pertemuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dengan anak syarikatnya baru-baru ini.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, hasil pertemuan dengan salah satu anak syarikat Petronas iaitu Gentari Sdn Bhd (Gentari), syarikat itu bersetuju dengan saranan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya mewujudkan sebuah konsortium yang terdiri daripada pemain industri solar yang berkelayakan untuk diberi kontrak pada masa hadapan.

Menurutnya, pada masa yang sama, satu program pembangunan bumiputera akan diwujudkan dalam Petronas supaya syarikat bumiputera pelbagai bidang industri minyak dan gas akan diberikan keutamaan dalam pengagihan kontrak di Petronas pada masa hadapan.

“Pada pendapat kami, ini adalah selari dengan apa yang telah dibincangkan dan dipersetujui oleh Petronas dalam Diskusi Madani 3 di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 berkenaan penciptaan peluang bumiputera dalam sektor peralihan tenaga.

“Oleh itu, kenyataan oleh pihak berkenaan yang mendesak rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu dan bumiputera untuk terus memboikot stesen-stesen minyak Petronas adalah suatu perbuatan yang tidak berdasarkan hikmah dan pemikiran panjang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali yang kekal dengan keputusan untuk meneruskan kempen bagi memboikot pembelian petrol di stesen minyak Petronas selama seminggu bermula 1 April susulan dakwaan keputusan syarikat gergasi minyak dan gas itu melantik syarikat bukan bumiputera untuk kontrak pemasangan panel solar.

Mohd Azamanizam berkata, parti terlibat juga tidak seharusnya berterusan menggunakan faktor menakutkan dan mentaliti kelayakan untuk memperjuangkan nasib perniagaan dan perusahaan Melayu serta bumiputera.

“Inisiatif boikot haruslah digunakan pada perkara yang selayaknya seperti usaha boikot produk-produk dan perniagaan yang mempunyai pertalian dengan entiti zalim Zionis Israel yang sedang giat berlangsung sekarang, bukannya boikot entiti perniagaan Melayu bumiputera yang hanya akan membawa rebah.

Artikel Berkaitan:

“Saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024) Februari lalu berkenaan pewujudan Konsep 3P iaitu ‘Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan’ haruslah diambil berat serta diberi penekanan untuk merealisasikannya,” katanya.

Tegasnya, semua pihak perlu berusaha memajukan dan meningkatkan peluang penyertaan dan daya saing syarikat Melayu bumiputera melalui cara yang lebih progresif dan dinamik selari dengan aspirasi Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!