Askar AS mogok lapar demi kanak-kanak Gaza
WASHINGTON - Seorang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) nekad melancarkan mogok lapar pada Ahad untuk menzahirkan rasa pilu terhadap penderitaan kanak-kanak Palestin di Genting Gaza.
Larry Hebert dari New Hampshire turut berkempen ketika sambutan Hari Easter tentang nasib golongan itu yang kelaparan di kawasan berhampiran Rumah Putih.
Hebert, 26, dijangka berada di lokasi tersebut sepanjang minggu ini sebelum berpindah ke luar pekarangan Kongres setelah ia kembali bersidang pada Isnin depan.
Pada pertengahan bulan lalu, anggota persatuan Veteran untuk Keamanan itu mengambil cuti pelepasan tugas di pangkalan Naval Station Rota di Sepanyol demi menyertai demonstrasi menuntut gencatan senjata secara kekal di Gaza dan berkunjung ke Pejabat Kongres bagi menggesa langkah menghentikan penghantaran senjata ke Israel.
Hebert turut berasa terharu dengan tindakan nekad rakan sepasukan, Aaron Bushnell yang membakar diri hidup-hidup di hadapan Kedutaan Israel sebagai membantah kezaliman ke atas penduduk Gaza.
“Anggota tentera yang masih aktif berkhidmat takut untuk bersuara dan berharap saya serta Bushnell dapat mengubahnya,” ujar Hebert lagi. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!