GLC, media berdepan cabaran anti arus perdana - Amirudin

Amirudin (dua dari kanan) bersama-sama Saipolyazan (dua dari kiri) dan Hussamuddin (kiri) pada Majlis Berbuka Puasa bersama GLC dan Media di Kediamannya pada Isnin.
Amirudin (dua dari kanan) bersama-sama Saipolyazan (dua dari kiri) dan Hussamuddin (kiri) pada Majlis Berbuka Puasa bersama GLC dan Media di Kediamannya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan media berdepan dengan cabaran arus anti-'mainstream' (arus perdana) yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesan itu sebenarnya bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di seluruh dunia.

Menurut beliau, antara faktor itu disebabkan oleh impak pandemik, ketidakstabilan ekonomi pasca-pandemik dan tekanan psikologi yang dialami oleh rakyat.

"Sebenarnya kita berada dalam masa dan waktu yang tidak mudah disebabkan cabaran yang kita hadapi pada hari ini.

"Walaupun ada dua bidang berbeza iaitu GLC dan media, tetapi kedua-duanya mewakili sesuatu yang dipanggil arus perdana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama GLC dan Media di Kediamannya di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Saipolyazan M Yusop; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Amirudin memberitahu, GLC dan media memerlukan persediaan menyeluruh bagi menangani anti arus perdana.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, GLC misalnya perlu membuat perancangan ekonomi dan komunikasi yang betul bagi mengelakkan salah tanggapan oleh rakyat.

"Begitu juga dengan media perlu memastikan disiplin dalam pelaporan dan komunikasi harus dipertahankan.

"Saya percaya pada rakan media yang terdidik dan terlatih sekian lama, tetapi cabarannya ialah bagaimana mempertahankan disiplin dalam pelaporan berita," ujar beliau.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, terdapat portal media yang disifatkan cenderung untuk mendapatkan 'clickbait'.

"Kita dapati, ada antara tajuk dan kandungan disiarkan berbeza dan inilah antara persoalan yang kita perlu tangani dalam hal ini.

"Kalau kita mengikut pergerakan media baharu, kita (berada dalam) bahaya kerana media sosial tiada ruang kawalan," tambah beliau.

Jelas beliau, pengguna media sosial tidak mengetahui mengenai disiplin, pelaporan berita, kaedah dan etika pelaporan

"Apabila kita terikut-ikut (media sosial), ia bahaya kepada masyarakat kerana perkara betul jadi tak betul, salah jadi tidak salah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!