Misi 15 hari terakhir Harimau Muda

Pasukan Harimau Muda berangkat dua minggu awal ke Doha, Qatar. Foto FAM
Pasukan Harimau Muda berangkat dua minggu awal ke Doha, Qatar. Foto FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido mengakui berdepan cabaran untuk mempersiapkan pemain dalam tempoh 15 hari terakhir sebelum perlawanan pertama Piala Asia B-23 Qatar menentang Uzbekistan pada 17 April ini.

Menurut Garrido, membentuk pasukan yang mantap dari segenap aspek menjadi keutamaanya ketika skuad Harimau Muda berlepas awal ke Doha, Qatar untuk menyambung sesi latihan di sana.

Beliau berkata, kem latihan pusat sudah bermula dua minggu lalu, tetapi dia hanya mendapat skuad penuh pemain dua hari lalu selepas beberapa pemain yang sebelum ini bersama Harimau Malaya kembali bersama pasukan.

"Baru dua hari bermula (dengan pasukan penuh) dan setakat ini keadaan amat baik. Sekarang kami ada pasukan yang baik dan tumpuan adalah untuk membina pasukan dalam masa 15 hari.

"Membentuk pasukan yang mantap menjadi perkara paling penting ketika ini. Masa yang agak singkat dengan ada pemain yang bersama dalam dua kem latihan terakhir, separuh daripada tahun lalu dan ada datang daripada pasukan bawah 16 tahun dan 19 tahun.

"Ini sesuatu yang bagus, tetapi dalam masa 15 hari kami perlu memastikan mereka dapat serasi bersama," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Doha.

Sebelum ini, beberapa pemain B-23 bersama pasukan senior menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman iaitu Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Nooa Laine dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Mengulas mengenai ketiadaan Azam Azmi yang mengalami kecederaan ketika bersama Harimau Malaya, Garrido mengakui ia tamparan besar buat pasukan untuk kehilangan pertahanan kanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, skuad muda negara itu juga telah kehilangan V Ruventhiran, Richard Chin dan Rahadiazli Rahalim yang mengalami kecederaan.

"Kesemua mereka tidak dapat menyertai pasukan, namun ada pemain lain yang boleh mengambil tempat mereka," katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti dengan Vietnam 20 April dan Kuwait 23 April.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!