Tarikan kek pisang 'another level'
JEMPOL - Ramai yang pernah menikmati kek pisang, tetapi kali ini kek pisang yang ditonjolkan berbeza dengan resepi kebiasaan iaitu kek pisang 'another level' yang dipenuhi dengan kekacang.
Kek yang diinovasi hasil daripada pembelajaran jarak jauh (PJJ) sebelum dijual kepada orang ramai pada September 2021 mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Pengusahanya, Rahimah Abd Raub, 46, berkata, dia hanya menyediakan kek berkenaan sekiranya ditempah pelanggan berikutan mahu ia sentiasa kekal segar.
“Kalau ikutkan banyak kek pisang yang dijual dalam pasaran tempatan tetapi sedikit berbeza dalam ramuannya sekali gus memberi kelainan.
“Kekacang yang saya gunakan pula antaranya walnut, badam cincang, biji labu dan coklat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rahimah, selain kek pisang another level, terdapat juga kuih dinamakan nagasari cendol yang bahan asasnya terdiri daripada campuran santan dan cendol.
“Resipinya juga dipelajari menerusi PJJ di media sosial yang mana rasanya manis dan sedikit berlemak, selain bentuknya kecil serta mudah dimakan,” katanya.
Rahimah berkata, murtabak crackers juga menjadi pilihan pelanggan sepanjang Ramadan ini dengan biskut lemak menjadi asasnya disaluti inti ayam atau daging berempah.
“Intinya perlu dimasak terlebih dahulu dengan campuran ayam atau daging, telur, bawang, dan daun sup sebelum dijadikan seperti murtabak berlapis seterusnya dibakar mengikut suhu yang ditetapkan,'' ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!