Murid Tahun Satu dijangkiti Influenza A kritikal

Nur Dinie Damia - Foto Facebook Media Johor
Nur Dinie Damia - Foto Facebook Media Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang murid Tahun Satu di negeri ini dilaporkan tidak sedarkan diri berikutan terkena jangkitan virus Influenza A dan komplikasi lain yang dialaminya sejak 5 Januari lalu.

Murid berkenaan, Nur Dinie Damia Muhammad Noor difahamkan kini berada dalam pemantauan rapi selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Jumaat lepas.

Menurut bapanya, Muhammad Noor Amin, 38, anak bongsunya itu dimaklumkan pihak hospital telah mengalami jangkitan di hati serta kegagalan otak hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) tengah hari tadi.

"Kesihatan Nur Dinie mula merudum apabila mengalami demam pada minggu lalu. Bila belum baik, kami terus bawanya ke klinik sebelum kami bawanya ke sebuah hospital swasta untuk dapatkan rawatan.

"Apabila melihat keadaannya semakin teruk, anak saya kemudiannya disahkan dijangkiti Influenza A dan pihak hospital itu mohon kami rujuk di hospital kerajaan,” katanya ketika ditemui di HSA di sini hari ini.

Muhammad Noor
Muhammad Noor

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Johor mengesahkan seorang murid darjah satu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini, dijangkiti Influenza A seperti yang ditularkan dalam media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: 89 murid dijangkiti influenza di Johor

Exco Kesihatan, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan berkata, bagaimanapun terdapat komplikasi lain menyebabkan kanak-kanak tersebut ditahan di wad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Muhammad Noor berkata, selepas dimasukkan ke HSA, pihaknya dimaklumkan anaknya mengalami beberapa simptom penyakit lain termasuk kegagalan buah pinggang yang memerlukan pertukaran darah.

“Keadaannya selepas buat dialisis agak baik tetapi menjadi teruk apabila mula tidak sedarkan diri dan muntah darah. Baru tengah hari tadi saya dimaklumkan pula otak anak saya sudah mati,” katanya.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu tetap meminta masyarakat untuk tidak menularkan berita palsu mengenai anaknya termasuk mengatakan Nur Dinie sudah meninggal dunia.

"Kami amat sedih dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu. Pakar HSA sedang bertungkus-lumus memastikan keadaan anak saya pulih," katanya yang turut mengharapkan perkembangan positif terhadap kesihatan anaknya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!