Bernardo Silva harap Liverpool, Arsenal tersungkur
MANCHESTER City berharap agar Arsenal dan Liverpool tidak mendapat keputusan positif dalam sembilan baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membolehkan mereka kembali ke kedudukan teratas liga.
City kini berada pada kedudukan ketiga EPL dengan skuad kendalian Pep Guardiola itu meraih 64 mata daripada 29 perlawanan.
Ia menyaksikan City ketinggalan satu mata di belakang Arsenal yang berada kedudukan kedua manakala berjarak tiga mata dengan Liverpool yang ketika ini berada di kedudukan teratas EPL.
City tidak akan bertemu dengan Arsenal dan Liverpool dalam baki saingan EPL musim ini dan pemain tengah mereka, Bernardo Silva berharap agar dua pasukan tersebut tersungkur dalam perlawanan akan datang.
"Banyak perkara akan terjadi. Sekarang kami tidak bergantung pada diri kami sebaliknya bergantung kepada Liverpool dan Arsenal.
"Kami tidak akan menghadapi mereka lagi, jadi harapan agar mereka akan kehilangan mata dan kami pula memenangi semua baki perlawanan," katanya.
City berdepan tugas berat apabila dijadualkan berdepan pasukan di kedudukan keempat liga, Aston Villa di Stadium Etihad pada Khamis ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!