MAINPP semarakkan syiar Islam Pulau Pinang

Mohamad menunjukkan angka prestasi kutipan serta agihan zakat ZPP yang memberangsangkan pada tahun 2023.
Mohamad menunjukkan angka prestasi kutipan serta agihan zakat ZPP yang memberangsangkan pada tahun 2023.
A
A
A

Dalam konteks pembangunan Islam di Pulau Pinang, peranan yang dimainkan oleh pentadbiran agama Islam di bawah Exco Pembangunan Agama Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menjadi sangat penting.

Sebagai badan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan dan pembangunan Islam negeri, MAINPP menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan kelangsungan kemajuan Islam terus diperkukuhkan bagi manfaat umat di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, seiring dengan perubahan semasa, proses pengukuhan tadbir urus pembangunan Islam di Pulau Pinang tidak hanya sekadar melibatkan aspek ritual dan keagamaan semata-mata. Sebaliknya, ia merentasi integrasi pelbagai aspek pembangunan Islam merangkumi politik, ekonomi dan sosial.

Mengupas lanjut mengenai perkara itu, Wartawan Sinar Harian, MOHD ISKANDAR OTHMAN mendapatkan pandangan bernas daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang merupakan Exco Pembangunan Agama Islam merangkap Yang Dipertua MAINPP, DATUK DR MOHAMAD ABDUL HAMID bagi mengupas lanjut mengenai usaha, pencapaian serta cabaran majlis agama itu dalam menyemarakkan syiar Islam di Pulau Pinang.

SINAR HARIAN: Di bawah MAINPP, terdapat tiga jabatan utama bersama tiga lagi agensi dalam menjalankan pentadbiran agama Islam di Pulau Pinang. Bagaimana keenam-enam entiti itu memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi perkembangan pembangunan Islam di Pulau Pinang?

MOHAMAD: MAINPP menaungi tiga jabatan utama iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSN) dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang di samping agensi-agensi di bawah MAINPP iaitu, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Negeri Pulau Pinang (KITAB) dan Wakaf Pulau Pinang (WPP).

Sebagai contoh, di JHEAIPP terdapat beberapa bahagian antaranya adalah Bahagian Dakwah, Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Bahagian Pengurusan Halal, Bahagian Pendidikan, Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau dan Bahagian Khidmat Pengurusan Dan Pembangunan.

DR MOHAMAD ABDUL HAMID
DR MOHAMAD ABDUL HAMID

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks zakat, pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan disalurkan kepada asnaf melalui instrumen zakat. Penubuhan ZPP pada peringkat awal hanyalah sekadar berperanan bagi kutipan zakat.

Selain itu, MAINPP turut memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan tinggi Islam. Hal ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang. KITAB merupakan kesinambungan daripada sebuah Maahad Tahfiz yang dikenali dengan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Pulau Pinang (MTQPP) yang beroperasi sejak tahun 1995.

Semua Program Pengajian Diploma di KITAB telah mendapat pengiktirafan daripada MQA dan KPT setaraf dengan institusi pengajian tinggi lain.

Malah, graduan KITAB berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara. Malah, kebolehpasaran lepasan pelajar KITAB adalah sebanyak 86.8 peratus pada tahun 2022.

Institusi zakat memainkan peranan besar dan menjadi penggerak kepada kemajuan Islam di negeri ini. Bagaimana Datuk melihat prestasi kutipan zakat di Pulau Pinang dan bagaimana pula dengan agihannya.

Alhamdulillah, prestasi kutipan zakat secara keseluruhan pada tahun 2023 telah meningkat sebanyak 6.37 peratus.

Jumlah kutipan zakat secara keseluruhannya telah merekodkan peningkatan 6.37 peratus iaitu sebanyak RM159.7 juta pada tahun 2023 berbanding tahun 2022 sebanyak RM150.13 juta.

Kutipan zakat harta telah menyumbang sebanyak RM152.86 juta dengan statistik jumlah muzakki sebanyak 75,298 orang direkodkan. Sementara prestasi kutipan zakat fitrah 1444H/2023M melonjak tinggi berdasarkan statistik pembayar dengan merekodkan peningkatan sebanyak 20,715 orang pembayar berbanding tahun 1443H/2022M.

Prestasi ini telah merekodkan jumlah kutipan zakat fitrah adalah sebanyak RM6.84 juta iaitu meningkat sebanyak 4.01 peratus.

Pada tahun 2023, dana agihan zakat yang disalurkan kepada penerima zakat (mustahik) adalah berjumlah RM173.39 juta. Statistik ini juga menunjukkan bahawa berlaku peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding pada tahun 2022.

Jumlah mustahik yang direkodkan adalah sebanyak 43,637 orang dan institusi dengan peratusan agihan zakat sebanyak 44.09 peratus kepada asnaf fakir dan miskin.

Bagaimana pula peranan institusi wakaf. Boleh Datuk jelaskan perkembangan terkini projek-projek wakaf yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan sosioekonomi umat Islam di Pulau Pinang?

Penubuhan Wakaf Pulau Pinang (WPP) yang mula beroperasi pada 1 April 2018 bertanggungjawab untuk mengumpul dan menambah Dana Wakaf Tunai MAINPP dan lain-lain bentuk wakaf, Selain itu, ia berperanan membangun dan menguruskan harta wakaf sama ada harta alih atau harta tak alih dan harta yang diserahkan oleh MAINPP termasuk menjalankan pelaburan, penyelidikan dan penguatkuasaan ke atas tanah wakaf.

No Image Caption

WPP juga melaksanakan polisi MAINPP berkaitan pengurusan wakaf dan hartanah dan mencadangkan polisi dan inovasi baru berkaitan pembangunan wakaf dan hartanah.

Antara projek pembangunan wakaf yang cukup popular di negeri ini ialah Wakaf Seetee Aisah 1 di Seberang Jaya.

Pembangunan tanah wakaf ini telah membantu dalam meningkatkan sosioekonomi ummah. Dari segi kependudukan umat Islam, pembangunan wakaf yang telah dilaksanakan antaranya ialah Pangsapuri Wakaf Siti & Hajah Norijah di Sungai Nibong, Pangsapuri Wakaf Mohamed Hashim di Seberang Jaya, Pangsapuri Wakaf An-Nur di Telok Air Tawar, Pangsapuri Wakaf Khan Mohamed di Georgetown dan Perumahan Teres 2 Tingkat di Kuala Bekah, Penaga, Pangsapuri Wakaf Alimsah Walley, Rumah Pangsa Kadersah dan lain- lain.

Selain itu, sekitar Wakaf Masjid Kapitan Keling dan Wakaf Masjid Melayu Lebuh Acheh di Georgetown juga terdapat lot-lot komersial dan rumah-rumah disewakan oleh orang-orang Islam dalam membantu meningkatkan sosioekonomi.

MAINPP melalui WPP telah merangka pelan perancangan pembangunan wakaf yang menyeluruh antaranya pembangunan wakaf yang sedang dijalankan ialah Taman Wakaf Seetee Aisah (Fasa 2) melibatkan 422 unit pangsapuri mampu milik 40 tingkat, 150 unit rumah pangsa kos rendah, 20 unit ruang niaga 4 tingkat, sebuah surau dan dewan.

Sementara itu, kutipan wakaf tunai sehingga tahun 2023 adalah sebanyak RM6,856,876.06 selain tanah seluas 507.3 hektar termasuk 292 lot komersial, 448 tapak, 415 lot kediaman yang diuruskan oleh WPP.

Meraikan Ramadan ini, apakah aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan oleh MAINPP menerusi agensi-agensi di bawahnya?

MAINPP melalui ZPP telah mengambil pendekatan secara inklusif dengan menganjurkan Program Nur Ramadan pada setiap tahun.

Hal ini bagi memastikan penganjuran program Nur Ramadan ini memberikan impak yang maksimum dan usaha-usaha pemberdayaan ummah sentiasa dilaksanakan secara berterusan bagi mengukuhkan kesejahteraan asnaf yang menerima skim agihan zakat ini.

Program Nur Ramadan ini merupakan sumbangan e-tunai kepada asnaf fakir dan miskin yang dilaksanakan dalam usaha membantu dan meringankan beban golongan asnaf fakir serta miskin sempena menyambut kedatangan Ramadan setiap tahun.

Serahan Nur Ramadan pada tahun ini adalah berjumlah RM4,473,200. Jumlah ini merangkumi sumbangan tunai sebanyak RM2,907,800 serta sumbangan hamper bernilai RM1,565,400.

Dengan jumlah ini, ZPP dapat menyantuni seramai 4,154 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin. Setiap penerima Skim Nur Ramadan ini menerima wang tunai sehingga RM700 dan sebuah hamper yang bernilai RM100.

Sepertimana tahun-tahun sebelum ini bagi menyambut Syawal dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, ZPP meraikan serta menyantuni asnaf fakir dan miskin melalui agihan saguhati hari raya.

No Image Caption

Jumlah peruntukan bagi Bantuan Saguhati Hari Raya Fakir dan Miskin Tahun 2024 ini adalah sebanyak RM5,820,000 dan diagihkan kepada hampir 7,000 asnaf fakir dan miskin.

Jumlah ini merangkumi jumlah saguhati RM700 bagi setiap penerima asnaf fakir dan RM600 bagi penerima asnaf miskin.

Datuk bukan hanya mengemudi pentadbiran negeri, tetapi juga institusi Islam di Pulau Pinang. Apakah cabaran utama yang Datuk hadapi?

Antara cabaran utama yang dihadapi mana-mana oleh institusi Islam adalah dari segi kekangan kewangan.

Sumber utama kewangan MAINPP adalah daripada sumber zakat, wakaf dan baitulmal. Setiap pembangunan hartanah memerlukan dana yang tinggi dan pemaju-pemaju yang telah dipilih perlu komited dalam membangunkan sesuatu hartanah wakaf tersebut.

Kerjasama dan sokongan dari pelbagai pihak termasuk badan-badan Islam tempatan, masyarakat setempat, dan kerajaan negeri adalah perlu untuk melaksanakan program-program dan projek-projek yang berkaitan dengan pembangunan Islam.

Selain itu, keseimbangan dan keharmonian di antara pelbagai agama dan bangsa di Pulau Pinang merupakan cabaran yang perlu dihadapi.

Saya perlu bijak menyelesaikan isu dan permasalahan yang melibatkan kepentingan masyarakat Islam. Selain itu, saya juga perlu memastikan institusi Islam di Pulau Pinang dapat berfungsi dengan efektif dan memenuhi keperluan komuniti Muslim tempatan.

Penyampaian maklumat yang tepat dan pantas adalah penting dalam memastikan inisiatif berkaitan pembangunan Islam seperti Pengurusan & pembangunan institusi Masjid, zakat & pembangunan asnaf, wakaf dan lain-lain Hal ehwal Agama Islam dapat disampaikan dengan jelas serta efektif kepada masyarakat.

Kita telah mengambil inisiatif dengan menjalankan penstrukturan semula bermula 1 Mac 2024 bagi setiap agensi di bawah pentadbiran MAINPP dengan membuat perubahan baharu bagi memantapkan urus tadbir institusi islam itu sendiri. Masyarakat perlu bersedia dan menyesuaikan diri dengan setiap perubahan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa demi kepentingan Islam.

Sebagai seorang ahli politik, pastinya Datuk cukup arif dengan pelbagai dakwaan serta tanggapan pihak-pihak tertentu kononnya Islam di Pulau Pinang tidak berkembang, mungkin boleh Datuk perjelaskan persepsi tersebut?

Persepsi negatif ini perlu ditangani dengan baik dan tidak semuanya perlu kita layan serta kita perlu bijak membezakan dan mencari fakta yang tepat terhadap sebarang dakwaan.

Sekiranya terdapat dakwaan sehingga menimbulkan fitnah yang boleh menjatuhkan maruah institusi Islam, tindakan undang-undang adalah jalan terakhir bagi penyelesaian sekiranya perlu demi memelihara kesucian agama Islam terutamanya di Pulau Pinang ini.

Saya ingin pastikan konsep adil dan ihsan dapat dimartabatkan dalam institusi Islam termasuk kesejahteraan sosial dan ekonomi Islam Pulau Pinang. Sebagai contoh, aset-aset tanah umat Islam terutamanya tanah-tanah wakaf di Pulau Pinang perlu diperkasakan.

Melalui Agensi MAINPP, saya amat optimis WPP dapat merancakkan perancangan dan pembangunan hartanah wakaf melalui tiga agenda wakaf meliputi Wakaf Perumahan dan Bangunan Komersial, Wakaf Kesihatan serta Wakaf Pendidikan. ZPP akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan asnaf di Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!