Chong Wei harap Momota cepat pulih

Chong Wei meninggalkan lobi Hospital Putrajaya selepas menziarahi Momota yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Kilometer 13.7 Lebuhraya MEX awal pagi ini. - Foto Bernama
Chong Wei meninggalkan lobi Hospital Putrajaya selepas menziarahi Momota yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Kilometer 13.7 Lebuhraya MEX awal pagi ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang terbabit dalam pelanggaran agar cepat pulih dan kembali beraksi di gelanggang.

Chong Wei yang turut sedih dengan kejadian itu berharap pemain perseorangan utama Jepun itu diberikan ruang untuk menerima rawatan dan berehat secukupnya.

"Saya ada bercakap dengan beliau dan melihat keadaan dia, saya pun kasihan, apa lagi kemalangan berlaku selepas dia menang kejuaraan dan dalam perjalanan untuk pulang ke Jepun.

"Saya tahu semua peminat badminton bimbang dengan keadaan ini. Mari sama-sama doakan untuk Momota kembali sihat dan beraksi semula di gelanggang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pemain itu di Hospital Putrajaya di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi itu, Momota dan tiga lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabit dalam pelanggaran selepas melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Pemandu van B Nageswarau yang tersepit di tempat duduknya maut di tempat kejadian.

Chong Wei berkata, beliau difahamkan oleh ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong bahawa Momota perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong turut berada di hospital bagi memberi sokongan moral kepada Momota. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!