Pelajar UniSZA maut motosikal bertembung kereta
BESUT - Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tembila–Kampung Raja di sini pada Isnin.
Nahas berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu menyebabkan Mohamad Faisal Haqimie Hapizul, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, insiden itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah Proton Iswara Aeroback.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa dikatakan menunggang motosikal dari arah Kampung Raja menghala ke UniSZA (Kampus Besut) manakala kereta berkenaan dari Kampung Kepala Gajah menuju ke Kampung Pengkalan Nyireh.
"Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi, mangsa memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan oleh pasukan perubatan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Sementara itu, pengurusan UniSZA dalam kenyataan di laman Facebook rasmi universiti itu merakam takziah atas pemergian Mohamad Faisal Haqimie yang merupakan pelajar Fakulti Informatik dan Komputeran.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh," tulis kenyataan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!