Mirip simbol Nazi, Adidas tarik balik jersi nombor 44 Jerman
BERLIN - Jenama sukan terkemuka dunia, Adidas telah menarik semula penjualan jersi baharu skuad bola sepak kebangsaan Jerman.
Ia susulan nombor 44 pada jersi berkenaan dilihat memiliki persamaan dengan logo unit separa tentera SS Parti Nazi.
Persekutuan Bola Sepak Jerman turut menghentikan penghantaran jersi dengan nombor 44 dari kedai dalam taliannya sendiri.
Badan induk bola sepak Jerman itu berkata, pihaknya sedang mencari reka bentuk alternatif untuk nombor 4 bersama rakan kongsinya, 11teamsports.
"Tiada mana-mana pihak yang terlibat melihat sebarang kedekatan dengan simbolisme Nazi dalam proses pembangunan reka bentuk jersi," kata Persekutuan Bola Sepak Jerman di X.
Tindakan menarik balik jersi dengan nombor 44 dibuat selepas dua angka nombor itu didakwa menyerupai SS yang digunakan oleh kumpulan Schutzstaffel Parti Nazi.
Lebih dikenali sebagai SS, ia termasuk unit polis, pasukan tempur dan lain-lain yang mengendalikan kem tahanan yang melakukan pembunuhan besar-besaran orang awam semasa Perang Dunia II.
Jurucakap Adidas, Oliver Brüggen memberitahu agensi berita dpa bahawa persekutuan dan 11teamsports bertanggungjawab untuk reka bentuk nama dan nombor pada baju.
Adidas telah mengeluarkan jersi Jerman sejak tahun 1950-an. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!