Tiga empangan di Johor hampiri paras kritikal
KOTA TINGGI - Paras air di Empangan Bekok, Machap dan Sembrong hanya mampu bertahan selama 55 hari sekiranya tiada hujan hingga 30 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Beliau berkata, kesemua empangan terbabit mengalami penurunan yang signifikan, namun masih belum berada di bawah paras kritikal.
"Buat masa ini kita sedang memantau keadaan semasa di empangan terlibat dan menunggu hingga akhir bulan untuk lihat purata hujan.
"Setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada perancangan untuk membuat catuan air di kawasan terlibat dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status paras empangan di Johor susulan cuaca panas pada masa ini.
Mohamad Fazli berkata, antara langkah pencegahan ialah melakukan pembenihan awan di kawasan terlibat atau pengolahan semula bekalan-bekalan air.
Beliau berharap orang ramai menggunakan air secara berhemah dan tidak melakukan pembaziran terutama ketika Aidilfitri.
Menurut Mohamad Fazli, pihaknya juga telah mengenal pasti hingga 150 lokasi yang melibatkan 70 District Metered Area (DMA) untuk dipantau bagi mengelak berlaku gangguan bekalan air semasa perayaan itu.
Antara langkah pencegahan yang akan dibuat bagi menangani gangguan itu adalah dengan melakukan pengolahan semula bekalan air dan meletakkan tangki-tangki air di kawasan terlibat. - Bernama .................................................................................................................
Kerajaan lulus tujuh RTB di Johor
JOHOR BAHRU - Sebanyak tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani masalah banjir yang kerap berlaku di Johor.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kesemua projek berkenaan dijangka siap pada 2029 kelak, namun pihak kontraktor memberikan komitmen agar projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal.
“Sebelum ini, Menteri Besar berkata, ketujuh-tujuh projek RTB ini adalah projek berimpak tinggi dan perlu dimasukkan ke dalam satu task force seperti double track (garisan berkembar) dan sebagainya.
“Ini kerana sebab banjir dah jadi macam bencana tahunan pula di Johor ni, jadi kita juga sangat berharap projek ini dapat disegerakan.
“Selain itu, struktur empangan juga akan berperanan sebagai sumber utama kepada bekalan air mentah,” katanya.
Mohamed Fazli berkata demikian sidang akhbar selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor, di sini, pada Selasa.
Ketujuh-tujuh RTB berkenaan melibatkan RTB Sungai Muar (Cover Sungai Segamat), RTB Sungai Muar, RTB Sungai Johor (Kota Tinggi), RTB Sungai Johor, RTB Bandar Batu Pahat (Seri Medan), RTB Sembrong.
Terdahulu, Mohamed Fazli juga turut melakukan lawatan ke loji air di Empangan Sembrong, Ayer Hitam.
Sementara itu Mohamad Fazli berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 150 lokasi membabitkan 70 'District Metered Area' (DMA) untuk dipantau bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air semasa perayaan Aidilfitri, tidak lama lagi.
Katanya, langkah awal menerusi kaedah pengolahan air juga sudah dimulakan awal dan ia dijangka dapat menyelesaikan isu di 80 peratus lokasi terbabit.
"Kita sudah buat pengolahan sistem kerana ketika hari raya, permintaan berbeza yang mana permintaan (penggunaan air) di kawasan bandar dan kilang berkurangan.
"Kita sudah sediakan langkah yang perlu untuk atasi gangguan bekalan air, tetapi mungkin ada yang di luar kawalan seperti paip pecah," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!