'Kaki membesar lebih 60kg, nak tidur terpaksa meniarap'
RAUB - Kehidupan seorang Pembantu Awam Pejabat Perhutanan Daerah Raub, Mohd Zulkifli Zainal, 41, berubah apabila terpaksa menanggung 'beban' lebih 60 kilogram di kaki kanannya sejak dua tahun lalu.
Ia berikutan akibat penyakit untut atau Lymphoedema kronik yang kian membesar dihadapi oleh Mohd Zulkifli.
Menurutnya, pihak hospital sebelum ini mengesahkan dia menghidap penyakit berkenaan berpunca sejenis kuman dalam sungai.
"Mulanya pada 2018 hanya bengkak, rasa sakit-sakit kemudian dua tahun kebelakangan ini ia membesar hingga sudah mencapai berat lebih 60kg, nak tidur pun susah terpaksa meniarap.
"Sudah pelbagai ujian dan ubat diambil namun masih belum berkesan hingga saya terpaksa merujuk kepada hospital swasta di Kuala Lumpur.
"Doktor pakar di situ mencadangkan supaya segera menjalani pembedahan membuang daging yang tumbuh secara berterusan itu," katanya di sini pada Selasa.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan dia kini terpaksa bergantung sepenuhnya terhadap isterinya, Nurul Shada Masri, 36 dan anaknya, Mohd Afiq Fahmi,15 berikutan segala pergerakannya terbatas.
"Isteri banyak membantu, hantar ke pejabat setiap hari, dia pun ambil tempahan makanan untuk menambahkan pendapatan selain anak pun banyak memahami keadaan saya.
"Sudah banyak barang berharga termasuk barang kemas isteri dijual untuk menampung kos rawatan setakat ini," tambahnya.
Mohd Zulkifli memerlukan kira-kira RM75,000 untuk kos pembedahan membuang ketumbuhan daging tersebut.
Jelasnya, buat masa ini lebih RM20,000 telah dikumpul dan pembedahan akan segera dilakukan sebaik jumlahnya mencukupi.
"Setakat ini saya ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak dua kali dan terkini pada semalam (Isnin), RM10,000 disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal," katanya lagi.
Sementara itu, Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong mengharapkan sumbangan itu dapat meringankan beban selain mendoakan Mohd Zulkifli segera sembuh.
Bagi mereka yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank, 7035954322 atas nama Mohd Zulkifli Zainal.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!