Guna khidmat tukar duit raya, duit kecil haram?
HARI Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba. Pelbagai persiapan untuk menyambut bulan Syawal semakin galak dilakukan umat Islam.
Ia termasuklah persediaan wang kecil untuk dijadikan sebagai duit raya pada hari raya nanti.
Bagi yang sibuk, mereka akan menggunakan khidmat ‘runner’ bagi tujuan tersebut.
Namun timbul persoalan, apakah dibolehkan umat Islam menggunakan perkhidmatan ini? Ada yang mengatakan ia termasuk dalam unsur riba, benarkah begitu?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum menggunakan khidmat untuk tukaran duit raya ini bergantung kepada pelaksanaannya.
“Jika tukaran RM100 dan hanya mendapat RM98 kerana RM2 itu dikira upah, maka haram hukumnya. Itu riba namanya.
“Pertukaran mesti nilai yang sama. Perbuatan ‘cabut upah’ awal tidak dibolehkan,” katanya dalam laman YouTube miliknya.
Bagaimanapun katanya, khidmat upah tersebut diharuskan sekiranya tukaran tersebut sama nilainya selain bayaran upah dibuat selepas tukaran selesai.
“Tukar duit RM520 dengan RM500, pertukaran itu tidak betul dan haram. Kena tukar RM500 dengan RM500 juga dan selepas itu beri RM20 kerana upah, itu baru betul (diharuskan),” hurainya.
Situasi tersebut sama juga hukumnya dengan tukaran wang kecil untuk tujuan lain selain duit raya.
Bagaimanapun ada dua syarat yang perlu dipenuhi ketika menukar duit tersebut agar kita tidak terlibat dengan riba.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dua syarat tersebut ialah mesti sama kuantiti tukaran dan dilakukan secara serta-merta.
“Sekiranya kuantiti tukaran tidak sama, maka transaksi tersebut tergolong dalam kategori riba al-Fadl.
“Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong dalam kategori riba an-Nasiah,” katanya seperti disiarkan dalam laman rasminya yang bertajuk Al-Kafi #1847: Jenis-jenis riba di sisi mazhab Syafie.
Katanya lagi, selain itu terdapat juga transaksi yang niat asalnya dilakukan secara serta-merta namun terlewat dari sudut penyerahan barang.
“Sekiranya hal ini berlaku, transaksi tersebut tergolong dalam kategori riba al-Yadd iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.
“Akhirnya, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memastikan setiap jual beli yang dilakukan tidak terjerumus dalam kancah riba yang diharamkan oleh ALLAH dan rasul-NYA,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!