FAM nafi beri projek kepada Ultras Malaya
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan badan induk itu memberikan sebarang projek kepada Ultras Malaya seperti yang didakwa dalam surat layang yang tular baru-baru ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Capo Ultras Malaya, Lekir Ahmad dan beberapa ultras hanya hadir ke Wisma FAM, Kelana Jaya untuk memberikan idea serta pendapat mengenai Harimau Malaya dan tidak mempunyai agenda tersendiri.
"Mereka hanya datang untuk membincangkan mengenai persiapan dan bagi idea mengenai Harimau Malaya. Tidak ada sebarang kepentingan.
"Mereka pun hanya datang dua atau tiga kali sahaja sepanjang saya jadi presiden. Saya nak bagitahu, idea untuk tiket kombo dicetuskan oleh Ultras Malaya Rambo (Alfadli Awaludin)," katanya.
Sebelum ini, tular surat layang yang di hantar melalui e-mel kepada media mengenai salah guna kuasa dalam pengurusan FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.
Turut disentuh oleh surat tersebut adalah mengenai Ultras Malaya yang didakwa sudah 'dibeli' oleh FAM sehinggakan telah hilang taring untuk mengkritik persatuan itu.
Selain itu, Ultras Malaya juga didakwa sering mengunjugi FAM berjumpa dengan presiden dan setiausaha agung FAM untuk mendapatkan projek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!