Lagi bangkai penyu dijumpai di Pantai Chakar Hutan
KEMAMAN - Bangkai seekor penyu agar dijumpai terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh di sini oleh anggota sukarelawan yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada Selasa.
Penemuan bangkai penyu betina yang saiznya lebih kecil itu berlaku dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas bangkai seekor penyu jantan daripada spesies sama dijumpai pada pagi Isnin.
Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata, penyu tersebut ditemukan oleh sukarelawan Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (Pulihara) sekitar jam 6.50 pagi.
Menurutnya, haiwan itu dipercayai telah mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan badan yang semakin mereput.
"Jika dilihat kepada fizikal bangkai penyu yang mulai mereput itu kita yakin ia mungkin telah mati beberapa hari lalu sebelum terdampar di pantai ini.
"Bagaimanapun, kita masih belum mengetahui punca sebenar penyu ini mati," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Zulkefli memberitahu, terdapat kesan luka pada bahagian leher penyu tersebut yang mungkin berlaku akibat terkena pukat.
"Kita syak penyu ini terkena pukat tetapi kita tidak menemui pukat pada badan haiwan itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebelum ini beberapa bangkai penyu lain turut ditemukan terdampar di pantai berkenaan.
"Sekarang musim penyu naik ke darat untuk bertelur, malangnya kebanyakan penyu ini mati disebabkan tertelan plastik atau terjerat pada pukat pari.
"Jadi kita harap para nelayan tidak menggunakan pukat pari untuk menangkap ikan kerana penyu akan terjerat dan mati sekiranya terperangkap pada pukat tersebut," katanya.
Zulkefli berkata, pihaknya akan terus mengambil inisiatif membersihkan kawasan pantai untuk memulihara alam sekitar dan memudahkan penyu naik bertelur.
Kata beliau, pihaknya telah merangka sebanyak 42 program pembersihan pantai di Terengganu sepanjang tahun ini.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan bangkai seekor penyu agar jantan dianggarkan seberat 150 kilogram dengan panjang 152.4 sentimeter dijumpai terdampar di pantai yang sama dipercayai akibat tersangkut pada pukat pari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!