'Mak ayah sesat, tak jumpa jalan pulang'
SHAH ALAM - Pasangan warga emas Muhammad Shah Meon, 75 dan isteri, Mo'minah Ujang, 71 yang dilaporkan hilang sejak Ahad berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada petang Isnin.
Anaknya, Muhamad Khaidir Muhammad Shah, 37 berkata, pasangan itu ditemui di Senawang sekitar jam 5.30 petang, Isnin dan selamat dibawa pulang ke rumah sekitar jam 8.45 malam pada hari sama.
Menurutnya, warga emas itu tersesat dan menyebabkan mereka hanya memandu sepanjang malam untuk mencari jalan pulang.
"Telefon tidak dapat dihubungi disebabkan kehabisan bateri dan mereka pula tak ingat nombor telefon anak-anak.
"Biasa kalau mahu ke mana-mana kami yang bawa cuma masa hari kejadian (Ahad) mereka curi-curi keluar.
"Saya hanya tahu dia ke rumah adik selepas mereka telefon beritahu sudah dalam perjalanan dan berada di Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) sekitar jam 10 pagi," katanya pada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, kehilangan pasangan warga emas itu selepas gagal dihubungi sejak Ahad.
Pasangan berkenaan bertolak dari Hulu Langat, Selangor sekitar jam 4 petang Ahad namun tidak sampai ke rumah di Taman Bahagia Delima, Kuala Pilah, Negeri Sembilan hingga petang Isnin.
Situasi tersebut menyebabkan anak-anaknya panik sebelum menularkan berita kehilangan tersebut di media sosial.
Muhamad Khaidir berkata, maklumat awal diterima memaklumkan kereta dipandu bapanya terbabas di kawasan Serenia, Sepang pada waktu Subuh namun mereka meneruskan pemanduan susulan kenderaan tidak mengalami kerosakan teruk.
"Selepas saya tularkan kehilangan mereka, banyak yang hubungi saya memaklumkan ternampak kereta ibu bapa saya sampai ke Tol Sentul dan beberapa lokasi lain.
"Sehinggalah ada pemberi maklumat lain telefon beritahu ibu bapa saya di Senawang. Saya minta mereka tahan ibu bapa saya untuk kami jemput mereka di sana," kongsinya.
Katanya, kejadian tersebut menyebabkan mereka empat beradik panik namun bersyukur ibu bapa mereka ditemukan dalam keadaan selamat.
"Kita bimbang jadi apa-apa kepada mereka kerana hilang pada waktu malam. Lepas kejadian ini, kami jadi lebih beringat dan berhati-hati kerana tidak mahu insiden sama berulang.
"Keadaan ibu bapa saya baik-baik saja, tiada trauma atau terkejut sebaliknya nampak kelegaan di wajah mereka sejurus ditemui dan terus terlena di dalam kereta.
"Alhamdulillah, semuanya selamat dan mereka dilindungi dan ramai yang bantu.
"Terima kasih juga kepada penyalur maklumat dan orang ramai yang mendoakan keselamatan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!