Pensyarah didenda RM9,000 guna dokumen palsu bayaran sewa kenderaan
KUALA LUMPUR - Seorang pensyarah sebuah universiti awam didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan bayaran sewa kenderaan berjumlah RM6,600 hampir enam tahun lepas.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 47, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan pilihan pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk sebutan kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pilihan itu, Jasmi Hafiz didakwa menggunakan tiga resit bagi bayaran sewa tiga jenis kenderaan antara 24 April 2018 hingga 27 Januari 2019 berjumlah RM6,600 dengan mengetahui kesemua dokumen berkenaan adalah palsu.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya antara 29 Mei 2018 hingga 19 Februari 2019 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapu,n enam lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Jasmi Hafiz sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abd Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!