Cerapan anak bulan Syawal di tiga lokasi di Kedah, Selasa depan
ALOR SETAR - Cerapan bagi melihat anak bulan Syawal di Kedah dilakukan di tiga lokasi dalam menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Dr Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin berkata, cerapan dilakukan di Menara Alor Setar yang menjadi lokasi utama, selain di Kampung Pulau Sayak, daerah Kuala Muda serta Pemandangan Indah di Langkawi.
Menurutnya, tarikh melihat anak bulan Syawal pada tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 9 April bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah.
“Kaedah yang digunakan untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap anak bulan adalah kaedah rukyah dan hisab, bagi melihat anak bulan dengan syarat tertentu.
“Kaedah rukyah bermaksud untuk mencerap anak bulan bagi menentukan sudah masuknya bulan baharu, manakala hisab pula adalah perhitungan astronomi,” katanya di sini pada Selasa.
Abd Ghani berkata, peralatan yang digunakan sama seperti cerapan sebelum ini iaitu teleskop dan ‘total station’ untuk mengukur jarak, sudut dan elevasi.
“Secara asasnya, masyarakat boleh menjadikan takwim waktu solat yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah sebagai rujukan.
“Tarikh sambutan Aidilfitri yang dicatatkan dalam takwim berdasarkan perkiraan adalah pada 10 April, bagaimanapun sekiranya berlaku perubahan, pemakluman berkenaan akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat kebarangkalian Malaysia menyambut Aidilfitri pada hari sama dengan beberapa buah negara berhampiran seperti Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Keputusan akan dimuktamadkan setelah cerapan selesai dilaksanakan pada petang Selasa depan,” katanya.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Selasa, 9 April bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui siaran radio dan televisyen.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!