Hampas sawit punca bau busuk dipindahkan
MELAKA - Masalah pencemaran bau dan habuk hampas kepala sawit yang dihadapi penduduk Kampung Balik Batu di sini, sejak Januari lalu bakal berakhir apabila lokasi pengumpulan bahan itu akan dipindahkan ke tempat lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi Mohd @ Hasim memberi jaminan masalah itu akan diatasi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurutnya, pihak syarikat yang berkenaan telah mengambil tindakan untuk mengeksport lebih 4,000 tan hampas kelapa sawit ke negara Jepun menggunakan kapal kargo bermula Selasa bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan segera.
"Jadi itu merupakan kaedah terbaik dan isu ini berjaya diselesaikan lebih awal berbanding jadual asal pada 31 April ini.
"Bermula daripada esok isu bau yang menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk tidak timbul lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemunggahan hampas sawit ke dalam sebuah kapal kargo di Pelabuhan Tanjung Beruas, Tanjung Kling di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerja-kerja pemunggahan bahan berkenaan telah bermula sejak Isnin selepas kapal kargo terbabit tiba dari Jepun pada Ahad lalu.
Jelas beliau, masalah yang timbul disebabkan bahan tersebut hanya ditutup dengan kanvas di kawasan lapang tanpa bangunan yang bertutup.
"Kesemua hampas sawit itu akan dimasukkan ke dalam kapal malam ini sekali gus pusat simpanan sementara berkenaan ditutup sepenuhnya," katanya lagi.
Ujar beliau, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti kawasan baharu yang lebih selamat dan bebas pencemaran bau selepas penutupan pusat simpanan sementara hampas sawit itu.
Sinar Harian pada 25 Mac lalu melaporkan lebih 400 penduduk membabitkan 100 buah rumah di Kampung Balik Batu dihantui dengan masalah habuk dan pencemaran bau hampas kelapa sawit sejak Disember tahun lalu.
Penduduk mendakwa mereka bukan sahaja terpaksa menghidu bau yang kurang menyenangkan malah hampas yang berterbangan juga dikhuatiri mampu menjejaskan kesihatan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Balik Batu, Zainal Ahmad berkata, kewujudan pusat penyimpanan sementara hampas sawit telah meragut keharmonian penduduk sehinggakan penduduk terpaksa berkurung di dalam rumah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!