McDonald's Malaysia fokus terhadap komuniti, imarahkan Ramadan
Kali ini, syarikat pengendali rangkaian restoran khidmat segera itu tampil melaksanakan Program Ramadan McDonald’s Malaysia di Alor Setar, Kedah.
Program jelajah kemasyarakatan ini menjadikan Masjid Rafeah di Taman Uda, di sini sebagai lokasi kedua yang dikunjungi oleh McDonald’s Malaysia, selepas kunjungan pertama ke Madrasah Al-Syukriah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Khamis yang lalu, untuk aktiviti pengedaran sumbangan bubur lambuk, penyediaan juadah berbuka puasa, dan penajaan makanan moreh bersama komuniti setempat.
Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, program itu merupakan bukti kesetiaan McDonald's Malaysia melaksanakan tanggungjawab sosial kepada komuniti Muslim di seluruh negara.
Tanggungjawab itu katanya turut melibatkan komitmen McDonald’s Malaysia yang tidak pernah culas menunaikan zakat korporat sejak 2017.
Sehingga kini, hampir RM12 juta telah dizakatkan kepada setiap negeri-negeri melalui pusat pungutan zakat.
"Untuk program di Alor Setar ini, kita mengedarkan makanan kepada petugas barisan hadapan seperti bomba, polis, imigresen, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pada masa sama, kita turut menyerahkan Kotak Rezeki yang berupa barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf, pesakit-pesakit kanser dan golongan yang memerlukan," katanya ketika ditemui semasa Program Ramadan McDonald’s Malaysia, di sini pada Selasa.
Tambah Shamsidar, selepas Alor Setar, pihaknya akan meneruskan jelajah program tersebut ke Negeri Sembilan bagi menyantuni komuniti di negeri itu sebagai lokasi terakhir bagi tahun ini.
"Alhamdulillah, sudah 10 tahun kita menjalankan program ini dan lebih 300 buah masjid dan surau kami akan kunjungi setiap tahun.
“Kami amat tersentuh dan terharu apabila masyarakat setempat berasa senang dan gembira dengan inisiatif yang kami jalankan.
Program ini akan diteruskan kerana memberikan kesan positif kepada masyarakat. Insya-Allah, kerjasama ini akan diteruskan pada masa depan,” jelasnya.
Kesan positif
Sementara itu, Pengerusi Masjid Rafeah, Ustaz Badruddin Abdul Razak mengakui program yang dilaksanakan McDonald’s Malaysia itu telah memberi kesan positif terhadap komuniti yang memerlukan.
Malah, pihaknya berharap usaha itu dapat diteruskan pada masa depan dan mungkin dalam bulan-bulan lain selain Ramadan.
Dalam pada itu, seorang penerima bantuan kotak rezeki, Mohamad Shukri Mohamad Sobri, 32, ketika ditemui berkata, dia terharu dan bersyukur tidak terhingga dengan sumbangan diterima sempena program kemasyarakatan itu.
Bekerja sebagai pembantu tukang kebun, sumbangan yang diterimanya itu telah memberi sedikit kelegaan terutamanya dalam meraikan Ramadan ini.
"Saya berterima kasih kepada McDonald's Malaysia kerana sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!