Suami isteri jual sepucuk pistol RM10,000 kepada lelaki Israel

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media khas di Bukit Aman pada Selasa. Foto Bernama
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media khas di Bukit Aman pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan lanjut mengenai pasangan suami isteri menyerahkan enam senjata api kepada lelaki Israel belum boleh didedahkan bagi mengelak siasatan terjejas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin berkata, pihaknya juga tidak boleh mendedahkan cara komunikasi antara pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun yang ditahan di Kuala Selangor, Jumaat lalu dengan lelaki warga Israel.

"Pada masa ini, kita tidak dapat dedahkan bagaimana suspek lelaki Israel berhubung dengan pasangan suami isteri itu, namun apa yang boleh saya sahkan bahawa mereka tidak mengenali antara satu sama lain, sebelum urus niaga pembelian senjata api.

"Saya khuatir sekiranya perkara ini didedahkan, ianya akan mengganggu proses siasatan, kita juga tidak dapat mendedahkan cara senjata itu diserahkan dan bagaimana pembayaran dibuat kerana akan menjejaskan siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Razarudin berkata, berdasarkan maklumat dan siasatan awal, senjata api yang diperoleh dari negara jiran Thailand itu dijual kepada lelaki Israel dengan harga lebih RM10,000 bagi sepucuk pistol.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kelompongan di kawasan pintu masuk sempadan negara di Pantai Timur, menjadi punca senjata api berkenaan mudah lolos sebelum sampai ke tangan lelaki warga Israel.

"Kita sentiasa memperkuatkan kawalan di sempadan pintu masuk negara selain memastikan tiada ketirisan dan masalah penyeludupan kontraban berlaku.

"Namun ada juga kelompongan sehingga berlaku penyeludupan dadah, senjata api dan lain-lain kontraban," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Razarudin dilaporkan berkata polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru susulan penahanan suspek warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.

Pada Sabtu, media melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat dipercayai membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada suspek.

Menurut sumber, pasangan itu dipercayai membeli senjata itu dari Thailand sebelum diserahkan kepada suspek.

Dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam.

Polis turut menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Suami isteri jual sepucuk pistol RM10,000 kepada lelaki Israel #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Jenayah #Kes #SuamiIsteri #Pistol #Israel

Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!