Warga emas ditahan selepas 27 tahun dalam buruan
LONDON - Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun telah ditahan di sebuah lapangan terbang selepas 27 tahun melarikan diri, kata polis Britain, lapor PA Media/dpa.
Richard Burrows, yang dituduh melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, ditahan di Heathrow pada Khamis selepas pulang ke United Kingdom (UK) dari Thailand, kata jurucakap Polis Cheshire.
Pasukan itu berkata, beliau dikehendaki sejak Disember 1997 apabila gagal hadir ke Mahkamah Chester Crown untuk menghadapi perbicaraan bagi dua tuduhan liwat dan 11 tuduhan serangan sumbang.
Tuduhan itu berkaitan dakwaan penderaan antara 1969 dan 1971, yang dilaporkan berlaku di rumah kanak-kanak di Congleton, Cheshire dan di West Midlands.
Inspektor Detektif Eleanor Atkinson, dari Polis Cheshire, berkata: "Keazaman kami untuk mengesan Burrows tidak pernah luntur sejak 27 tahun yang lepas dan penahanannya menandakan satu langkah penting dalam kes ini dan permulaan penutupan bagi semua yang terlibat.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat yang telah mereka berikan selama ini semasa kami mencari Burrows.
"Saya juga berharap penangkapannya bertindak sebagai amaran kepada mana-mana suspek lain yang dikehendaki - menunjukkan bahawa tidak kira berapa lama anda bersembunyi, kami akan menemui anda dan anda akan ditangkap."
Usaha untuk menjejaki Burrows sejak kehilangannya termasuk rayuan Crimewatch pada 1998.
Pegawai perhubungan antarabangsa Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) di Thailand, Duncan Burrage berkata: "Dengan menggunakan rangkaian antarabangsa kami dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Polis Cheshire, kami dapat mengesan pelarian yang dikehendaki berkaitan dengan tuduhan yang sangat serius."
Burrows telah direman dan dijangka hadir di Mahkamah Mahkota Chester pada Selasa, kata jurucakap polis. - Bernama-dpa
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!