Murid kritikal alami kegagalan hati, buah pinggang
JOHOR BAHRU - Murid Tahun Satu yang sebelum ini didakwa dijangkiti Influenza A kini dilaporkan berada dalam keadaan tenat dan kritikal.
Kanak-kanak itu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, juga dilaporkan sudah tidak sedarkan diri selain berada dalam pemantauan teliti daripada pihak hospital.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, perkara itu dinyatakan kepadanya menerusi pertemuan bersama pakar dan pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang ditugaskan merawat kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun katanya, dakwaan mengenai kanak-kanak itu yang tenat akibat wabak Influenza A adalah tidak benar sama sekali dan ia telah dibuktikan melalui ujian pengesahan Polymerase Chain Reaction (PCR).
“Waktu dia masuk ke sini (HSA), kita dah buat ujian dan ujian berkenaan memang menyatakan negatif Influenza A.
“Keadaan sekarang, adik Damia ini alami masalah kegagalan buah pinggang dan kegagalan hati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSA di sini sebentar tadi.
Sahruddin berkata, pihaknya dimaklumkan pakar perubatan juga sedang berusaha untuk menstabilkan semula keadaan kanak-kanak berkenaan.
Pagi tadi, Exco Kesihatan, Pendidikan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan memaklumkan keadaan kanak-kanak itu yang perlu ditahan di wad kerana mempunyai pelbagai komplikasi lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid didakwa kritikal kerana influenza ada komplikasi lain
Murid Tahun Satu dijangkiti Influenza A kritikal
Dalam perkembangan sama, Sahruddin berkata, berdasarkan makluman sehingga kini hanya 10 mangsa yang disahkan dijangkiti Influenza A berdasarkan ujian dibuat HSA.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan dan nasihat doktor sekiranya menunjukkan sebarang simptom jangkitan.
Bagaimanapun katanya, masyarakat tidak perlu berasa panik kerana keadaan yang berlaku itu hanya perkara biasa jika dilihat berdasarkan corak tahunan yang telah direkodkan.
“Semua kena sedia maklum ini adalah penyakit flu (selesema). Memang biasa dari bulan November hingga Mac, corak penyakit selesema atau influenza ini dia akan meningkat, tetapi influenza apa kita kena tengok dahulu.
“Kebiasaannya adalah Influenza A, biasa kita cuma rawat simptom sahaja. Kalau batuk kita rawat batuk, kalau demam kita beri rawatan demam, jadi saya harap jika ada sebarang simptom ini terus dapatkan nasihat doktor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!