[VIDEO] Pesawah tuntut kerajaan naik harga padi, pemutuan potongan rendah

A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 800 pesawah di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang dekat sini menuntut kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,350 kepada RM1,600 setiap tan metrik.

Selain itu, mereka turut mendesak kerajaan menetapkan pemutuan potongan padi 17 peratus berbanding 20 peratus ketika ini.

Seorang pesawah, Arbany Katimin, 67, berkata, dua tuntutan itu diharap dipandang serius kerajaan bagi membela nasib golongan itu berikutan pendapatan mereka terjejas teruk pada musim penanaman kali ini.

Noh (lima dari kanan), Nurul Syazwani (empat dari kanan) dan pesawah menyatakan bantahan berhubung harga belian padi rendah dan pemutuan potongan tinggi pada Rabu.
Noh (lima dari kanan), Nurul Syazwani (empat dari kanan) dan pesawah menyatakan bantahan berhubung harga belian padi rendah dan pemutuan potongan tinggi pada Rabu.

"Saya merayu kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya untuk menaikkan harga belian dan pemutuan padi pada harga munasabah.

"Pada masa ini, harga belian padi terlalu rendah selain isu pemutuan tinggi sehingga 20 peratus yang membebankan pesawah sedangkan kualiti padi sah yang dijual kepada pengilang berkualiti," katanya.

Sebelum itu, kira-kira 50 pesawah mengadakan bantahan secara aman di kampung itu berikutan tidak berpuas hati dengan harga belian padi rendah dan pemutuan padi yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pesawah, Mohd Hasmizul Aizat Zubir, 35, memberitahu, golongan muda tidak lagi berminat untuk bekerja di sawah disebabkan masalah tersebut.

Jelasnya, pendapatan bagi sektor tanaman padi paling rendah berbanding dengan hasil pengeluaran pertanian lain.

Dari kiri: Mohd Hasmizul, Zakaria, dan Arbany
Dari kiri: Mohd Hasmizul, Zakaria, dan Arbany

"Saya sendiri mengusahakan tiga tanaman pertanian iaitu padi, kelapa sawit dan timun, namun pendapatan hasil padi paling rendah, sedangkan saya telah mengorbankan banyak masa serta mengerah keringat di bendang," ujarnya.

Zakaria Ahmad, 56, pula berkata, kebiasaannya harga belian dan pemutuan padi di kawasan pengairan Sawah Sempadan tidak sama dengan beberapa kawasan berhampiran.

Katanya, harga belian padi di kawasan itu jauh lebih rendah berbanding di Sungai Burong dan di daerah Sabak Bernam.

"Kami meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung harga belian dan pemutuan padi yang tidak sama.

"Perkara ini selalu dihadapi pesawah di sini sedangkan kami menghasilkan padi daripada benih sah sama seperti di tempat lain," tambahnya.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan didesak untuk mengawal harga padi bagi melindungi golongan pesawah.

Jelas beliau, kawasan tanaman padi Sawah Sempadan seluas 2,500 hektar itu sering menjadi mangsa berikutan harga belian rendah dan pemotongan pemutuan padi yang tinggi melebihi 20 peratus.

"Bernas (Syarikat Padiberas Nasional Berhad) perlu membuat pemantauan terhadap syarikat swasta yang terlibat dalam pembelian padi serta mengumpul data dan maklumat berkaitan.

"Langkah-langkah ini diharapkan dapat membantu menjaga kestabilan harga padi di pasaran tempatan," jelas beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kerajaan Selangor juga digesa untuk 'turun padang' bagi melihat sendiri masalah dihadapi pesawah di kawasan itu.

Katanya, kerajaan Selangor pada Belanjawan 2024 memberi jaminan untuk menjadikan kawasan sekitar Tanjong Karang hingga daerah Sabak Bernam sebagai hub pengeluaran makanan.

"Pesawah di sini tertekan kerana telah dua musim pengeluaran padi berdepan masalah sama dan berharap ia ditangani segera," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!